
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah Fasa 1 (SSLR1) tidak pernah menggantikan projek Jambatan Batang Lupar, Batang Igan dan Batang Rambungan kerana kedua-duanya mempunyai objektif pembangunan serta fungsi yang berbeza.
Beliau berkata kenyataan bertulis Kementerian Kerja Raya (KKR) berhubung ketiga-tiga projek jambatan itu adalah berdasarkan rekod pentadbiran rasmi Kerajaan Persekutuan yang menunjukkan projek berkenaan diluluskan di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan kemudiannya dibatalkan susulan perubahan dasar serta penilaian semula projek ketika itu.
Menurut Nanta, SSLR1 diperkenalkan sebagai projek strategik Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan hubungan darat antara Sarawak dan Sabah tanpa melalui Brunei serta membuka potensi pembangunan kawasan pedalaman.
Sementara itu, projek jambatan pesisir pula memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di kawasan pantai dengan memendekkan masa perjalanan, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan merangsang aktiviti ekonomi tempatan.
“Justeru, kedua-dua inisiatif ini saling melengkapi dan tidak wajar dianggap sebagai projek yang bersaing atau menggantikan antara satu sama lain.
“Penggunaan istilah ‘menggantikan’ projek jambatan dengan SSLR1 adalah tidak tepat kerana kedua-duanya memenuhi keperluan pembangunan di lokaliti yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menyambut baik pandangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa pembangunan kawasan pesisir dan jaringan jalan strategik di pedalaman sama penting bagi memastikan pembangunan Sarawak yang seimbang serta inklusif, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.
Nanta berkata Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) yang dipersetujui melalui Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) juga menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan menyeluruh Sarawak dengan memberi penekanan kepada pengukuhan jaringan perhubungan strategik, pembukaan akses ke kawasan pedalaman dan pemangkin pertumbuhan ekonomi wilayah.
Beliau pada masa sama menghargai inisiatif kerajaan Sarawak yang meneruskan pembinaan ketiga-tiga jambatan menggunakan pembiayaan negeri bagi memastikan keperluan rakyat terus dipenuhi.
Katanya, KKR akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak dalam mengenal pasti keutamaan pembangunan infrastruktur negeri, termasuk mempertimbangkan cadangan baharu melalui saluran rasmi perancangan pembangunan negara, tertakluk kepada pertimbangan agensi pusat serta kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Matlamat kita adalah sama iaitu memastikan rakyat Sarawak menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik, jaringan perhubungan yang lebih menyeluruh serta peluang pembangunan ekonomi yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Oleh Adi Safarman



