SRI AMAN: Pengusaha tanaman padi atau pesawah di kawasan Bijat dan Gran/Stumbin kini dilihat mula menyedari manfaat pengunaan teknologi moden bagi tujuan aktiviti menuai padi berbanding kaedah tradisional.
Ia terbukti apabila para pesawah berkenaan menggunakan jentera menuai padi yang disediakan oleh Koperasi Pertanian Sri Aman Berhad (KPSAB) menerusi perkhidmatan menuai padi yang telah diperkenalkan oleh pihak itu semenjak dua tahun lepas.
“Kesudian pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar untuk meminjam sejumlah dua jentera menuai padi telah membolehkan KPSAB menawarkan perkhidmatan ini kepada para pesawah di situ.
“Perkhidmatan ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada pesawah apabila jentera itu sudah pun diguna sebanyak 396 bagi musim menuai padi tahun 2019/2020 dan 234 kali menjelang Mac lepas bagi musim tahun 2020/2021,” kata Setiausaha KPSAB, Kiben Jaya.
Pihak KPSAB kata beliau menjangka jumlah penggunaan jentera itu terus meningkat pada tahun ini dengan perkhidmatan berkenaan bakal diperkembang ke kawasan Entulang dan Seduku untuk perancangan akan datang.
“Penggunaan jentera ini adalah ideal dan menjimatkan tenaga pesawah. Ini kerana padi yang dituai oleh jentera itu akan terus dilerai secara automatik bagi memisahkan biji daripada tangkainya.
“Lagi pun bayaran sewa jentera yang ditawar di bawah perkhidmatan ini adalah berpatutan iaitu RM200 seekar untuk pesawah yang sudah menjadi ahli KPSAB dan RM250 seekar untuk pesawah bukan ahli,” kata Kiben.
Beliau turut menambah seseorang pesawah berkenaan perlu membelanjakan sebanyak RM375 jika dia bertindak mengupah seramai 15 pekerja hanya untuk menuai padi miliknya itu di atas sawah berkeluasa satu ekar.
“Justeru kami menyeru para pesawah di Bijat dan Gran/Stumbin agar beralih kepada cara moden pada musim menuai padi akan datang demi menjimatkan kos dan tenaga masing-masing,” kata Kiben.
Para pesawah di Bijat dan Gran/Stumbin atau Daerah Sri Aman amnya boleh bertindak menghubungi beliau di talian telefon 0198181803 atau menghubungi Tuai Rumah James Batang Lang di talian 0138389415 jika mereka mahu mahu memohon keahlian KPSAB.
Oleh VALENTINE NGUMBANG