
KUCHING: Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak merekodkan 18 kejayaan menerusi Op Taring Bravo, Op Taring Chiller, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan di seluruh Sarawak sepanjang 1 Julai hingga semalam, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM19.96 juta.
Komander Briged PGA Sarawak, SAC Lim Bak Phai berkata, operasi berterusan itu memberi tumpuan kepada pembanterasan jenayah rentas sempadan serta pelbagai kesalahan di bawah bidang kuasa agensi penguat kuasa.
Beliau berkata, antara kejayaan utama ialah rampasan lebih 60 tan produk sejuk beku tanpa permit sah, termasuk ayam, daging babi, ikan, nuget dan sosej di Sibu, Miri, Bintulu, Sri Aman dan Kuching.
“Turut dirampas ialah stor sejuk beku, kenderaan serta peralatan pemprosesan dengan nilai keseluruhan RM10.06 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya, Briged PGA Sarawak turut menumpaskan beberapa kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di Sri Aman dan Kota Samarahan menerusi rampasan hampir 16,000 liter diesel, tangki skid, tangki simpanan, jentera berat serta pelbagai peralatan lain yang dianggarkan bernilai RM824,599.

Lim berkata, menerusi Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah pula, PGA berjaya membongkar kegiatan pembalakan tanpa permit, pemprosesan kayu secara haram serta kes berkaitan hidupan liar.
Katanya, operasi itu membawa kepada rampasan kayu balak, kayu diproses, kayu gaharu, sarang burung walit, jentera berat, stor simpanan dan pelbagai peralatan.
Dalam Op Taring Batas/Awas, beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan, selain cubaan menyeludup beras dan produk daging sejuk beku tanpa permit berjaya dipatahkan.
“Turut dirampas ialah telefon bimbit, motosikal dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM783,747.40,” katanya.
Beliau berkata, semua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (STIDC), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kawal Selia Padi dan Beras Sarawak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Menurutnya, Briged PGA Sarawak akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara agresif, berterusan dan bersepadu bagi membanteras aktiviti penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, pembalakan tanpa permit, kesalahan berkaitan hidupan liar serta jenayah rentas sempadan.
“Usaha ini penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.
Oleh Connie Chieng




