KUCHING: Rakyat negeri ini digesa menanam minat suka membaca sama ada sebagai hobi atau pembacaan ilmiah.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara ini amat dituntut sekiranya kita ingin menjadi sebuah negeri yang berjaya dan progresif.
“Membaca adalah amalan mulia untuk memperolehi ilmu dan mengembangkan minda.
“Orang yang banyak membaca, luas pandangannya dan lebih analatik dan kritis pemikiran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam rakaman video ucapannya sempena ‘Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ Anjuran Pustaka Negeri Sarawak, semalam.
Tambahnya, di peringkat kanak-kanak dan pelajar, membaca memberi banyak kelebihan berbanding mereka yang kurang membaca kerana membaca antara lain mempertingkatkan kemahiran menulis dan berfkir.
“Program ini merupakan kempen yang harus mendapat sokongan setiap lapisan masyarakat demi menyuburkan amalan membaca dalam masayarkat kita,” ujarnya.
Jelasnya, negeri kita mempunyai matlamat untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 dan amalan membaca haruslah menjadi budaya masyarakat kita yang berstatus maju.
Tahun ini, program tersebut berlangsung secara serentak di seluruh negara bertujuan untuk memberi kesedaran dan memupuk minat membaca di kalangan masyarakat.
Ia turut mendapat sambutan dan sokongan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri dengan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama menyebarkan gelombang positif ke seluruh Sarawak menerusi pembacaan.
Oleh NUR AIN OTSMAN