
BINTULU: Sebahagian jalan di kawasan Lapangan Terbang Lama Bintulu akan ditutup bermula 15 Julai hingga 30 Julai 2026 bagi memberi laluan kepada kerja penyediaan tapak dan persiapan penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026.
Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menerusi satu notis pemberitahuan memaklumkan penutupan tersebut melibatkan sebahagian jalan di kawasan Taman serbaguna Lapangan Terbang Lama Bintulu dan kawasan sekitarnya.
Menurut BDA, penutupan jalan itu bertujuan membolehkan kerja penyediaan gerai penaja, pemasangan kemudahan acara serta persiapan logistik dijalankan dengan lancar menjelang Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Julai ini.
Sepanjang tempoh penutupan, laluan yang terlibat akan ditutup sepenuhnya selama 24 jam sehari dan semua kenderaan tidak dibenarkan memasuki kawasan yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi semua papan tanda keselamatan dan arahan petugas yang bertugas di lokasi bagi memastikan kelancaran aliran trafik.
BDA turut menghargai kerjasama, kesabaran dan sokongan orang ramai sepanjang tempoh penutupan jalan tersebut demi memastikan segala persiapan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 berjalan lancar.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di talian 086-337111 atau mengikuti perkembangan di laman Facebook rasmi BDA.
Oleh Faizah Muzidi





