
ATLANTA: Kehebatan Lionel Messi membantu membawa Argentina ke separuh akhir Piala Dunia yang dinanti-nantikan menentang England di Atlanta awal pagi Khamis (waktu Malaysia).
Namun perjalanan juara bertahan itu ke kelompok empat terbaik dibayangi teori konspirasi dalam talian yang mendakwa — tanpa bukti — bahawa gelanggang persaingan telah dimiringkan memihak kepada mereka.
Media sosial dibanjiri video dan meme janaan AI yang menguatkan naratif tersebut, sama ada Presiden FIFA Gianni Infantino dan Messi berpelukan mesra di atas dek Titanic ala Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet, ataupun wajah Infantino disunting pada lambang Matahari Mei di tengah bendera Argentina.
Daripada keputusan pengadil yang dipertikaikan hingga dakwaan menerima laluan mudah ke final, AFP menghuraikan insiden utama yang mencetuskan teori konspirasi tersebut.
Messi terlepas kad merah
Dalam kemenangan Argentina ke atas Algeria di peringkat kumpulan, ketika mendahului 1-0, Messi menggeselkan stud kasutnya pada betis kanan dan tendon Achilles kapten Algeria, Aissa Mandi, pada minit ke-30.
Pengadil dari Poland, Szymon Marciniak, menghadiahkan sepakan percuma kepada Algeria tetapi tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Messi, yang kemudian menjaringkan hatrik.
Beberapa pengulas bagaimanapun bertegas bahawa Messi melakukan kekasaran serius dan sepatutnya dilayangkan kad merah yang akan menyebabkan penggantungan.
“Pada pandangan saya itu sepatutnya kad merah,” kata penganalisis ESPN dan bekas pertahanan Manchester City Nedum Onuoha.
“Messi tahu dia melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan masalah. Secara peribadi saya rasa itu kad merah.”
Bekas pengadil Bundesliga, Patrick Ittrich, turut bersetuju:
“Bagi saya, itu kad merah. Kami mempunyai banyak contoh di Bundesliga yang dihukum dengan kad merah. Mengikut undang-undang permainan, itu kad merah.”
Persekutuan Bola Sepak Algeria kemudian mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA berhubung “ketidakadilan pengadilan” dalam perlawanan tersebut.
Mesir dakwa dianiaya
Argentina melakukan kebangkitan dramatik untuk menewaskan Mesir 3-2 selepas ketinggalan 0-2 pada pusingan 16 terbaik.
Namun pemain dan barisan kejurulatihan Mesir berang dengan beberapa keputusan pengadil Perancis, Francois Letexier, yang memihak kepada Argentina.

Isu terbesar ialah jaringan Mesir pada babak kedua yang dibatalkan selepas campur tangan VAR kerana pengadil video mengesan kekasaran terhadap pemain Argentina beberapa fasa sebelum Mostafa Zico menjaringkan gol.
Beberapa penganalisis mempersoalkan sama ada VAR telah melampaui bidang kuasanya.
“VAR terlalu mendalami sesuatu dan mencari insiden untuk membatalkan gol Mesir,” kata bekas pengadil FIFA, Mark Clattenburg.
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, turut mendakwa pasukannya sepatutnya diberikan penalti sebelum gol kemenangan lewat Enzo Fernandez.
“Nampaknya ada tekanan daripada pihak Argentina terhadap pengadil yang membawa kepada keputusan ini.”
“Mungkin mereka mahu juara dunia kekal dalam kejohanan ini?” katanya kepada BeIn Sports.
“Mungkin mereka mahu Messi terus berada dalam perebutan? Dalam bola sepak kadangkala ada faktor luar yang melangkaui aspek teknikal.”
Ketua pengadil FIFA, Pierluigi Collina, menolak dakwaan Mesir sebagai “tidak berasas”.
Keputusan VAR penentu
Satu lagi keputusan VAR penting membentuk kemenangan suku akhir Argentina 3-1 ke atas Switzerland selepas masa tambahan di Kansas City pada Sabtu.
Pada minit ke-70, pengadil Joao Pinheiro melayangkan kad kuning kepada Leandro Paredes kerana mengasari Breel Embolo, ketika Switzerland baru menyamakan kedudukan 1-1.
Bagaimanapun, campur tangan VAR menggunakan peraturan baharu FIFA mengenai kesilapan identiti mendapati Embolo sebenarnya memulakan kekasaran melalui tindakan simulasi.
Keputusan itu dibatalkan dan kerana Embolo sudah menerima kad kuning sebelum ini, dia dilayangkan kad merah.
Switzerland terpaksa bermain dengan 10 orang dan Argentina akhirnya menang dalam masa tambahan.
“Kami dihukum kerana satu peraturan yang pada pendapat saya sama sekali tidak boleh diterima,” kata jurulatih Switzerland, Murat Yakin.
Ramai pemerhati bagaimanapun berpendapat Embolo memang wajar dihukum kerana jelas melakukan terjunan.
“Jika anda mahu berhujah FIFA mengatur Piala Dunia untuk Lionel Messi dan Argentina, anda perlu membawa bukti yang lebih kukuh daripada ini,” tulis kolumnis USA Today, Nancy Armour.
Laluan mudah?
Pengkritik perjalanan Argentina ke separuh akhir menjadikan ranking lawan mereka sebagai bukti kononnya FIFA memberi layanan istimewa.
Setakat ini Argentina belum menentang pasukan yang berada lebih tinggi daripada ranking ke-19 dunia sebelum bertemu England.
Selepas menjuarai kumpulan yang turut dibarisi Algeria, Jordan dan Austria, lawan mereka di pusingan kalah mati ialah Cape Verde, Mesir dan Switzerland.
Namun keadaan itu sebahagian besarnya berpunca daripada keputusan FIFA meletakkan empat pasukan terbaik dunia sebagai pilihan utama agar tidak bertemu sehingga separuh akhir.
England juga belum menentang pasukan dalam kelompok 10 terbaik dunia, manakala Perancis perlu menewaskan Maghribi yang berada di ranking ketujuh pada suku akhir.
Sepanyol mempunyai laluan paling sukar ke separuh akhir selepas perlu menewaskan Portugal (ranking kelima) dan Belgium (ranking kesembilan). — AFP



