Sarawak sasar perluas kawasan perlindungan hutan melebihi sejuta hektar

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan bergambar bersama tetamu kehormat dan peserta selepas merasmikan Persidangan Pemuliharaan Malaysia (MCC) 2026 di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan keluasan kawasan perlindungan hutan di negeri ini kepada lebih sejuta hektar sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pemuliharaan biodiversiti dan menjamin kelestarian sumber semula jadi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ketika ini Sarawak mempunyai 71 taman negara, rizab alam semula jadi dan santuari hidupan liar yang meliputi sekitar 2.1 juta hektar ekosistem daratan dan marin, termasuk hampir 879,000 hektar kawasan perlindungan di daratan.

Menurut beliau, antara landskap pemuliharaan utama di negeri ini ialah Santuari Hidupan Liar Lanjak-Entimau, Taman Negara Batang Ai, Taman Negara Beting Luconia dan Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti.

DATUK Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama tetamu kehormat pada Persidangan Pemuliharaan Malaysia (MCC) 2026 yang menghimpunkan pakar, penyelidik dan agensi berkaitan bagi membincangkan usaha memperkukuh pemuliharaan biodiversiti serta kelestarian alam sekitar. Foto UKAS.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pemuliharaan Malaysia (Malaysia Conservation Conference, MCC) 2026 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, dasar pemuliharaan Sarawak diperkukuhkan menerusi Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P), Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, Pelan Tindakan Kelestarian Sarawak 2030 serta Strategi Sifar Bersih dan Pelan Karbon Sarawak.

Katanya, pelaksanaan dasar tersebut dijangka menyumbang sehingga RM550 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak, menarik pelaburan antara RM580 bilion hingga RM700 bilion serta mewujudkan sekitar 80,000 peluang pekerjaan berkualiti dalam sektor tenaga baharu.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan dasar pemuliharaan perlu disokong dengan pelaksanaan yang berkesan di lapangan.

Menurutnya, menerusi Program Reef Balls (terumbu tiruan berbentuk sfera), lebih 16,000 struktur terumbu tiruan telah ditempatkan di sepanjang 746 kilometer pesisir pantai Sarawak antara 2018 hingga 2022, menjadikannya projek penempatan terumbu tiruan terpanjang di dunia.

“Di bawah fasa kedua, sebanyak 5,000 lagi struktur terumbu tiruan ditempatkan di 90 kluster melibatkan enam bahagian, menjadikan jumlah keseluruhannya melebihi 21,000 sejak 2018,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Sarawak turut memperkasa penyelesaian berasaskan alam semula jadi dengan memanfaatkan hutan, tanah lembap, paya bakau dan ekosistem pesisir pantai bagi mengurangkan impak perubahan iklim serta melindungi biodiversiti dan sumber air.

Sehingga kini, katanya, sebanyak sembilan Permit Kajian Karbon telah dikeluarkan melibatkan kawasan seluas sekitar 231,983 hektar di sembilan bahagian.

Beliau menegaskan setiap inisiatif karbon yang dilaksanakan perlu memperkukuh usaha pemuliharaan, mengekalkan integriti alam sekitar dan memberi manfaat yang adil kepada komuniti setempat.

Persidangan MCC 2026 menghimpunkan antara 150 hingga 200 peserta daripada 37 organisasi dengan pembentangan 25 kertas teknikal serta lima sesi tematik membabitkan 18 ahli panel.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Abdullah Julaihi, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Morshidi Fredrick serta Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan, Abang Arabi Abang Aimran.

Oleh Shikin Mahmud