JKR Sarawak gesa orang ramai hentikan vandalisme di Jambatan Batang Lupar 1

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
JKR Sarawak mengeluarkan kenyataan tegas menggesa seluruh masyarakat agar menghentikan segera sebarang tindakan vandalisme di Jambatan Batang Lupar 1. Foto JKR Sarawak

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang perbuatan vandalisme di kawasan Jambatan Batang Lupar 1 bagi memastikan kemudahan awam itu terus berada dalam keadaan bersih, selamat dan terpelihara.

Menurut kenyataan media JKR Sarawak, Jambatan Batang Lupar 1 merupakan kemudahan awam yang menjadi kebanggaan rakyat, justeru semua pihak perlu memainkan peranan memelihara aset berkenaan daripada sebarang perbuatan menconteng, merosakkan atau mencemarkan struktur serta kemudahan yang disediakan.

JKR Sarawak menegaskan bahawa perbuatan vandalisme bukan sahaja mencacatkan imej jambatan, malah menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap harta awam yang dibina untuk manfaat masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan bahawa kawasan Jambatan Batang Lupar 1 dipantau menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) selama 24 jam bagi meningkatkan aspek keselamatan dan membantu mengesan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Menurut kenyataan itu, pemantauan berterusan dilakukan sebagai langkah pencegahan selain memastikan kemudahan awam berkenaan dapat digunakan dengan selesa dan selamat oleh semua pengguna.

JKR Sarawak turut mengajak seluruh masyarakat agar bersama-sama menghargai kemudahan awam, menjaga kebersihan serta memelihara keindahan Jambatan Batang Lupar 1 sebagai simbol pembangunan dan kemajuan negeri.

“Sayangi jambatan kita. Hentikan vandalisme,” menurut kenyataan media JKR Sarawak.

Oleh Adi Safarman