ASSAR 2 mungkin diwujudkan untuk buka peluang pelaburan bukan Bumiputera

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PREMIER Sarawak bercakap ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Agihan Pendapatan Amanah Saham Sarawak bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching.

KUCHING: Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB) diminta mengkaji kemungkinan memperkenalkan satu lagi dana pelaburan bagi membuka peluang kepada masyarakat bukan Bumiputera menyertai pelaburan Amanah Saham Sarawak (ASSAR).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini ASSAR hanya memberi tumpuan kepada pelabur Bumiputera, namun pendekatan baharu boleh dipertimbangkan dengan mewujudkan satu lagi saluran pelaburan yang lebih inklusif.

“Cadangan ini mengambil kira model yang dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam menyediakan peluang pelaburan kepada masyarakat yang lebih luas.

SIMBOLIK pelancaran logo baharu disempurnakan oleh Premier Sarawak (dua dari kiri) dan disaksikan Pengerusi ASSB, Dato Sri Wahab Dolah (tiga dari kiri) dan tetamu kehormat lain di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching.

“Saya meminta ahli lembaga dan juga pihak pengurusan tertinggi untuk mengembangkan Amanah Saham Sarawak. Sekarang ini Amanah Saham Sarawak hanya tumpu kepada Bumiputera, jadi kita melihat apa yang dilaksanakan oleh PNB.

“Kita mungkin buka juga untuk masyarakat bukan Bumiputera, mungkin ASSAR 2, di mana kita dapat mengumpulkan dana dan memberi peluang kepada bukan Bumiputera untuk menyimpan dalam Amanah Saham Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Agihan Pendapatan Amanah Saham Sarawak bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, hari ini.

Tambah beliau, langkah berkenaan selaras dengan pendekatan inklusif ASSAR sebagai instrumen pelaburan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

LOGO korporat baharu Permodalan ASSAR Sdn Bhd (PASB).

“Ini bermakna kita ada dua saluran dan di sini kita boleh melabur dalam ekonomi kita yang sekarang ini berkembang dengan begitu baik.

“Jadi dapatlah kita beri peluang kepada anak Sarawak bukan Bumiputera untuk sama-sama melabur.

“Bagaimanapun, ini tertakluk kepada pihak lembaga untuk mereka semak dahulu dan lihat bagaimana ia boleh dilaksanakan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata perkembangan ekonomi Sarawak ketika ini turut membuka peluang kepada ASSAR untuk memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pembangunan negeri.

“Antara sektor yang berpotensi diterokai termasuk pembangunan infrastruktur strategik seperti pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu serta pembangunan Pelabuhan Miri.

“Peluang pelaburan ini boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan bank saudagar dan bank pelaburan bagi membentuk instrumen pembiayaan seperti bon untuk menyokong projek pembangunan Sarawak.

“Ekonomi kita perlu diperluaskan dan dengan adanya pelaburan tersebut, mereka boleh bekerjasama dengan bank saudagar serta bank pelaburan untuk membentuk satu badan yang menawarkan bon pinjaman kepada mereka yang menyertai pembangunan kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Permodalan ASSAR Sdn Bhd (PASB) turut melancarkan logo korporat baharunya sebagai simbol transformasi serta hala tuju baharu kumpulan berkenaan di bawah Pelan Strategik 2025-2030.

Diilhamkan daripada tiga warna utama bendera Sarawak, logo baharu itu melambangkan perpaduan, ketahanan, kemajuan dan kelestarian, selain mencerminkan komitmen PASB terhadap tadbir urus baik, inovasi serta penciptaan nilai mampan kepada pemegang saham, pihak berkepentingan dan rakyat Sarawak.

Oleh Masrin Affirah