
PETRA JAYA: Sarawak menyasarkan untuk muncul sebagai hab utama persidangan media di peringkat serantau menerusi penganjuran Persidangan Media Sarawak (SMEC), dengan hasrat memperkukuh kedudukannya sebagai lokasi pertemuan pemikir, pengamal dan pemain industri media dari pelbagai negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)), Datuk Abdullah Saidol berkata, aspirasi itu akan direalisasikan secara berperingkat melalui peluasan penyertaan serta penglibatan tokoh media tempatan dan antarabangsa.
Menurut beliau, penganjuran SMEC yang semakin berkembang membuka peluang untuk Sarawak mengangkat persidangan berkenaan ke tahap lebih tinggi pada masa hadapan.
“Hasrat besar melalui persidangan ini adalah suatu hari nanti, sekiranya kita berjaya menarik lebih ramai peserta, kita mungkin dapat meningkatkan tahapnya ke peringkat antarabangsa dengan melibatkan lebih ramai individu serta personaliti media terkemuka dari luar negara.
“Cita-cita kita adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai medan utama bagi penganjuran persidangan berkaitan media, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia,” katanya pada sidang media SMEC 2026 di Bangunan Baitulmakmur, hari ini.
Beliau berkata, tema ‘Media, Kepercayaan dan Tadbir Urus dalam Dunia Digital yang Berkembang Pesat’ dipilih bagi memberi tumpuan kepada cabaran industri media masa kini, termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), penyebaran maklumat palsu serta ancaman propaganda digital yang semakin kompleks.

“Perubahan teknologi hari ini memberi kesan besar kepada cara maklumat disampaikan dan diterima oleh masyarakat.
“Oleh itu, aspek kepercayaan serta tadbir urus media perlu terus diperkukuhkan,” ujarnya.
SMEC 2026 yang akan berlangsung pada 16 Julai di Hotel Pullman Kuching dijangka menghimpunkan sekitar 800 peserta terdiri daripada pengamal media tempatan dan antarabangsa, pegawai perhubungan awam, wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pemain industri komunikasi bagi membincangkan cabaran serta hala tuju masa depan media dalam era digital.
Persidangan itu akan menampilkan barisan penceramah berpengalaman dalam bidang media, komunikasi dan akademik, antaranya Pengasas SOL Digital, Lunnie Gan; Timbalan Presiden Majlis Media Malaysia merangkap Pengasas Bersama Malaysiakini, Premesh Chandran; Dato’ Norhyati Ismail; Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania, Prof. James Ung Ho Chin; serta Pengasas Kupikupi FM Sabah dan Sarawak, Rita Sim Sai Hoon.
Perkongsian mereka dijangka memperkayakan perbincangan mengenai transformasi media, pengurusan maklumat, kewartawanan beretika serta usaha memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi media.
Pada sebelah malam, majlis makan malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan SMEC 2026 akan diadakan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof bersama isteri.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak sebagai penghargaan kepada warga media atas komitmen menyampaikan maklumat yang tepat, berintegriti dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Anugerah berkenaan melibatkan lima kategori iaitu Editor/Wartawan/Stringer, Jurugambar, Juruvideo, Penyampai Radio/Berita dan Pempengaruh.
Dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak menerusi UKAS, SMEC 2026 akan disempurnakan oleh Premier Sarawak dan menjadi platform penting dalam memperkukuh ekosistem media yang profesional, berwibawa serta berdaya tahan, di samping mengeratkan kerjasama antara kerajaan, organisasi media, institusi pengajian tinggi dan pemain industri.



