
KUCHING: Pelaksanaan subsidi diesel perlu mengambil kira realiti kehidupan pekebun kecil di Sarawak yang bergantung kepada bahan api itu untuk menjalankan aktiviti pertanian dan mengangkut hasil tanaman, kata Pengerusi Sementara Kumpulan Integrasi Rangkaian Dayak (DNIG), Bobby William.
Beliau berkata, walaupun usaha kerajaan menyasarkan subsidi diesel kepada golongan yang benar-benar layak wajar disokong demi menjamin kemampanan kewangan negara, pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan sebenar rakyat di setiap negeri.
Menurutnya, faktor geografi Sarawak yang luas, taburan penduduk yang berselerak serta keadaan infrastruktur di kawasan luar bandar dan pedalaman menjadikan penggunaan diesel sebagai satu keperluan asas bagi menjalankan aktiviti ekonomi.
“Ribuan pekebun kecil kelapa sawit di Sarawak, yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Dayak, bergantung kepada diesel setiap hari bagi mengangkut buah tandan segar (FFB), mengendalikan jentera pertanian, menggunakan generator serta kenderaan pacuan empat roda.
“Penggunaan diesel bukan untuk kemewahan, sebaliknya bagi membolehkan mereka mencari rezeki dan menyara keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Bobby menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak meneliti semula mekanisme pelaksanaan subsidi diesel supaya tidak membebankan pekebun kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi luar bandar.
Beliau berkata, satu mekanisme khas subsidi diesel untuk pekebun kecil di Sarawak perlu diwujudkan dengan mengambil kira keadaan geografi dan kos operasi sebenar yang ditanggung mereka.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya proses permohonan dipermudah agar petani dan pekebun di rumah panjang serta kawasan pedalaman tidak terbeban dengan prosedur yang rumit.
Bobby turut mencadangkan supaya sesi libat urus diadakan bersama wakil pekebun kecil, koperasi, pertubuhan peladang dan pemimpin masyarakat sebelum sebarang penambahbaikan dasar dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau berkata kajian impak secara menyeluruh perlu dijalankan terhadap kos pengeluaran kelapa sawit serta kesannya terhadap pendapatan pekebun kecil di Sarawak.
Menurutnya, sebagai antara negeri pengeluar utama minyak sawit negara, suara pekebun kecil Sarawak tidak seharusnya dipinggirkan kerana mereka turut menyumbang kepada ekonomi negara walaupun berdepan kos operasi yang lebih tinggi berbanding kawasan lain.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak mempunyai peranan penting untuk membawa suara rakyat luar bandar ke meja rundingan bersama kerajaan Persekutuan bagi memastikan penyelesaian yang lebih adil dapat dicapai.
Katanya, isu subsidi diesel tidak seharusnya dilihat sebagai tuntutan politik, sebaliknya sebagai keperluan ekonomi dan kebajikan rakyat kerana usaha membantu pekebun kecil dapat mempertahankan sumber pendapatan keluarga luar bandar, memperkukuh industri kelapa sawit serta memastikan pembangunan Sarawak terus bersifat inklusif.




