
BUBUR Leluai.
SIBU: Bubur Leluai, sejenis pencuci mulut tradisional masyarakat Melanau, wajar diperkenalkan kepada generasi baharu bagi memastikan warisan makanan itu terus dipelihara dan tidak hilang ditelan zaman.
Pengusaha makanan tradisional, Maimunah Yusuf, 42, berkata peluang menyertai Program Sarawakku Sayang dimanfaatkan untuk memperkenalkan Bubur Leluai memandangkan makanan itu semakin kurang dikenali berbanding kuih tradisional lain seperti penyaram.
“Kami memilih untuk memperkenalkan Bubur Leluai kerana makanan ini semakin kurang dikenali masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kami berharap lebih ramai dapat mengenali dan menghargai warisan makanan tradisional Melanau,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

MAIMUNAH Yusuf, 42, pengusaha makanan tradisional, Bubur Leluai.
Beliau berkata, bagi memastikan keaslian rasa, semua bahan utama termasuk kelapa muda, sagu dan gula apong diperoleh dari kawasan Mukah serta kampung sekitar Matu sebelum dibawa ke Sibu.
Menurutnya, resipi Bubur Leluai yang disediakan tidak menggunakan sebarang perisa tambahan kerana mahu mengekalkan cita rasa asli masyarakat Melanau.
Maimunah berkata, sambutan orang ramai sepanjang program itu amat menggalakkan walaupun ramai pengunjung pada awalnya tidak mengetahui mengenai bubur leluai.
“Ramai datang bertanya apa itu bubur leluai dan kami mengambil peluang untuk menerangkan bahawa ia merupakan pencuci mulut tradisional masyarakat Melanau. Selepas mencubanya, ramai pelanggan kembali membeli kerana menyukai rasanya yang menyegarkan, terutama ketika cuaca panas,” katanya.
Menurutnya, gerainya merupakan satu-satunya gerai yang menjual bubur leluai sepanjang program berkenaan dan berharap lebih banyak makanan tradisional dari Mukah, Matu, Dalat serta kawasan sekitarnya dapat diketengahkan pada masa depan agar warisan kulinari masyarakat Melanau terus dipelihara.
Oleh Tarani Lanting



