
KUCHING: Rakyat Sarawak perlu memperkukuh persediaan dari segi ilmu, kemahiran dan daya tahan bagi menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks susulan perubahan ekonomi serta geopolitik global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, walaupun Sarawak terus menikmati pembangunan pesat, masyarakat perlu memastikan diri mereka bersedia untuk merebut peluang yang diwujudkan menerusi kemajuan negeri.
Beliau berkata, perkembangan global termasuk konflik antarabangsa boleh memberi kesan kepada kehidupan rakyat termasuk dari segi peningkatan kos bahan api, bekalan dan harga barangan.
“Bila berlaku gangguan seperti penutupan Selat Hormuz, ia memberi kesan kepada bekalan minyak dan gas. Bila kos meningkat, ia akan memberi kesan kepada logistik dan akhirnya harga barang-barang lain juga akan meningkat kerana semuanya bergantung kepada kos tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah selepas Majlis Penangguhan Regata Sejijak 2026 di Kampung Sejijak hari ini.
Menurut Fadillah, dalam menghadapi cabaran berkenaan, kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan selain bantuan di peringkat Persekutuan bagi membantu rakyat yang memerlukan.
Namun katanya, pemimpin masyarakat juga memainkan peranan penting dalam mengenal pasti kumpulan yang memerlukan bantuan serta memastikan ia disalurkan secara berkesan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pendidikan dan penguasaan kemahiran perlu menjadi keutamaan supaya anak-anak Sarawak mampu bersaing serta menikmati manfaat daripada pembangunan negeri.“
Anak-anak kita bukan sahaja perlu pergi ke sekolah, tetapi perlu menguasai ilmu dan kemahiran secukupnya untuk berdepan dengan kehidupan pada masa akan datang.
“Kalau kita lihat perlumbaan regata, bukan sahaja perlu ada perahu tetapi perahu itu juga perlu disediakan mengikut perkembangan teknologi. Begitu juga anak-anak kita, kita perlu persiapkan mereka supaya tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata, kemajuan Sarawak melalui agenda pembangunan negeri seperti Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) memerlukan rakyat yang mempunyai keupayaan untuk merebut peluang baharu.
Sementara itu, Fadillah berkata penganjuran Regata Sejijak bukan sahaja menjadi medan mengeratkan hubungan masyarakat, malah berpotensi dikembangkan sebagai aktiviti pelancongan yang mampu menjana pendapatan penduduk setempat.
Katanya, program komuniti seperti itu perlu dilihat sebagai peluang ekonomi dengan memberi ruang kepada penduduk menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan dan perkhidmatan sepanjang acara berlangsung.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur serta masyarakat Kampung Sejijak yang terus mengekalkan tradisi penganjuran regata sebagai salah satu warisan dan identiti masyarakat Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi