
SERAMAI 187 AJK Ranting Pergerakan Wanita PBB Cawangan Bukit Saban menyertai Kursus Kepimpinan Wanita yang berlangsung di Dewan Masyarakat Spaoh semalam. Foto Wanita PBB Bukit Saban
SPAOH: Seramai 187 Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban menyertai Kursus Kepimpinan Wanita yang berlangsung di Dewan Masyarakat Spaoh semalam, sebagai usaha memperkasakan kepimpinan wanita di peringkat akar umbi.
Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 4.00 petang itu menghimpunkan barisan kepimpinan wanita dari seluruh kawasan Bukit Saban bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran komunikasi serta keupayaan pengurusan organisasi.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Wanita PBB Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah, yang menegaskan bahawa pembangunan kepimpinan wanita perlu diperkukuh secara berterusan agar mereka lebih bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.
Menurut beliau, wanita di peringkat ranting memainkan peranan penting sebagai penghubung antara parti dan komuniti, selain menjadi medium penyampaian aspirasi rakyat serta memastikan keperluan masyarakat sentiasa diberi perhatian.

Katanya, kursus berkenaan merupakan platform untuk melahirkan barisan pemimpin wanita yang berilmu, berwibawa dan berdaya saing melalui pendedahan kepada kemahiran komunikasi, pengurusan organisasi serta pembangunan keyakinan diri.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk latihan berkumpulan dan sesi komunikasi berkesan yang dirangka bagi meningkatkan keupayaan mereka mengendalikan organisasi serta melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dengan lebih sistematik.
“Melalui program seumpama ini, para peserta bukan sahaja dapat memperkukuh jaringan kerjasama sesama ahli, malah meningkatkan kesiapsiagaan untuk memainkan peranan lebih aktif sebagai penggerak organisasi dan pemangkin pembangunan komuniti setempat,” kata Natasha.
Beliau berharap kursus tersebut menjadi pemangkin kepada pembentukan kepimpinan wanita yang berkualiti, berintegriti dan mampu menyumbang secara berterusan kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan kawasan Bukit Saban.
Program itu turut menampilkan Hazemi Entek sebagai penceramah yang menyampaikan ceramah motivasi kepimpinan wanita serta mengendalikan sesi perkongsian ilmu dan bimbingan kepada para peserta.
Oleh Adi Safarman