Penduduk Rh Entering Usah bakal nikmati jalan masuk berturap

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
TURUN PADANG…..Kaunselor Lau bersama pasukannya mengadakan lawatan ke tapak projek menaik taraf laluan ke Rh Entering Usah di Pasai Siong.

SIBU: Penduduk Rumah (Rh) Entering Usah di Pasai Siong bakal menikmati kemudahan jalan masuk berturap apabila projek menaik taraf laluan ke rumah panjang berkenaan kini sedang dilaksanakan.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, projek itu dilaksanakan di bawah Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) menerusi peruntukan Butiran Projek (BP1) bagi penambahbaikan infrastruktur asas.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf laluan sedia ada daripada jalan batu kerikil kepada jalan akses berturap yang lebih baik, sekali gus meningkatkan kemudahan infrastruktur asas di kawasan tersebut,” katanya.

LALUAN berturap baharu yang sedang dibangunkan dijangka memberi manfaat kepada 28 pintu rumah panjang dengan menyediakan akses lebih selamat dan selesa.

Menurutnya, projek itu akan memberi manfaat kepada 28 pintu di rumah panjang berkenaan yang sekian lama bergantung kepada jalan batu kerikil.

“Apabila siap kelak, projek ini dijangka menyediakan laluan yang lebih selamat dan selesa serta memudahkan urusan harian penduduk setempat,” katanya lagi.

Terdahulu, Lau bersama pasukannya mengadakan lawatan ke tapak projek bagi meninjau perkembangan semasa serta mendapatkan maklumat terkini mengenai pelaksanaan kerja-kerja pembinaan.

Oleh Akun Giman