Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • The Keris: Sebulan selami sejarah, bahasa klasik bantu Syazlie Syazz ‘hidupkan’ Hang Tuah
  • HIBURAN

The Keris: Sebulan selami sejarah, bahasa klasik bantu Syazlie Syazz ‘hidupkan’ Hang Tuah

Utusan Sarawak 14 hours ago
PELAKON watak utama filem The Keris, Syazlie Syazz atau nama sebenar Mohamad Syazlie Shah Ninam Shah, menghabiskan lebih sebulan mendalami sejarah Hang Tuah, mempelajari bahasa Melayu klasik dan latihan fizikal sebelum melangkah ke set penggambaran sebagai pelakon utama. Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Menggalas watak utama sebagai pahlawan legenda Melayu, Hang Tuah menerusi filem aksi The Keris yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara, menjadi cabaran terbesar dalam kerjaya Syazlie Syazz yang hampir sedekad lebih dikenali sebagai pelakon lagak ngeri.

Mengakui tanggungjawab itu bukan sesuatu yang mudah, Syazlie, atau nama sebenarnya Mohamad Syazlie Shah Ninam Shah, tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang diberikan kepadanya, apatah lagi ini merupakan peluang pertama menerajui watak utama setelah 10 tahun dalam industri.

Bagi menghidupkan watak Hang Tuah dengan meyakinkan, pelakon berusia 28 tahun itu menghabiskan lebih sebulan untuk mendalami sejarah pahlawan Melayu berkenaan, mempelajari bahasa Melayu klasik serta menjalani latihan fizikal sebelum penggambaran bermula.

“Saya tiada pengalaman menjadi hero filem. Sepanjang dalam industri, saya banyak buat stunt atau stunt impact yang melibatkan filem aksi seperti babak pergaduhan, letupan, aksi kereta dan motosikal serta koreografi pertarungan.

“Apabila penerbit Dr N. Matheyalagan tawarkan watak utama, pada mulanya saya rasa agak berat sebab tiada pengalaman dalam lakonan  sebaliknya hanya pengalaman lebih kepada stunt,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

PELAKON watak utama filem The Keris, Syazlie Syazz atau nama sebenar Mohamad Syazlie Shah Ninam Shah, menghabiskan lebih sebulan mendalami sejarah Hang Tuah, mempelajari bahasa Melayu klasik dan latihan fizikal sebelum melangkah ke set penggambaran sebagai pelakon utama. Foto BERNAMA

Menurut Syazlie, beliau dipilih selepas Matheyalagan dan pengarah Viknes Perrabu mencari pelakon yang mampu melaksanakan sendiri babak aksi kompleks tanpa terlalu bergantung pada pelakon lagak ngeri atau penggunaan sistem rigging, sekali gus menghasilkan adegan pertarungan yang lebih realistik.

Bagi menghidupkan watak Hang Tuah dibawakan dengan  sebaik mungkin, anak jati Kota Tinggi, Johor itu mengambil inisiatif mendalami semula sejarah pahlawan Melayu itu menerusi filem-filem terdahulu termasuk karya lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Selain memahami jalan cerita, Syazlie turut meneliti cara pertuturan, lontaran dialog dan penggunaan bahasa klasik yang bersesuaian dengan latar zaman filem berkenaan selain menjalani latihan fizikal bagi memenuhi kehendak pengarah yang mahukan penampilan seorang pahlawan.

“Saya juga perlu membawa tiga jenis suara iaitu suara Hang Tuah, suara Daeng (watak hero) dan satu lagi perubahan suara apabila watak itu melalui satu fasa tertentu dalam filem. Hampir semua aksi berbahaya dalam filem ini termasuk adengan melompat merentas api dilakukan sendiri oleh saya,” katanya.

Berkongsi cabaran sepanjang penggambaran, Syazlie berkata adegan pertarungan kemuncak merupakan antara babak paling mencabar kerana dirakam selama tiga hari berturut-turut dengan jadual penggambaran bermula pada waktu malam hingga awal pagi.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana sepanjang berada di lokasi penggambaran, pelakon senior seperti Datuk Jalaluddin Hassan banyak memberikan tunjuk ajar dan sokongan kepadanya sehingga membuatkannya berasa lebih yakin untuk menggalas watak berkenaan.

PENERBIT filem The Keris, Dr N.Matheyalagan melangkah ke pentas filem Melayu menerusi The Keris, sebuah filem aksi yang mengangkat warisan keris, seni persilatan dan legenda Hang Tuah. Menggabungkan aksi mendebarkan, seni persilatan, warisan budaya dan semangat perpaduan, The Keris yang dibintangi oleh Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Jalaluddin Hassan juga akan menemui penonton di Singapura bermula 9 Julai. Foto BERNAMA

Sementara itu, A. Devadas, 50, atau lebih dikenali sebagai MJ Deva, berkata menghasilkan koreografi pertarungan yang menepati kehendak pengarah bukan tugas mudah kerana memerlukan gabungan elemen seni bela diri tradisional Melayu dengan aksi moden bertaraf antarabangsa.

Pengurus Produksi dan Pakar Aksi filem The Keris ini berkata pasukan aksi mengambil masa hampir dua minggu sebelum penggambaran bermula untuk merancang dan melatih setiap babak pertarungan, termasuk menyusun pergerakan pelakon, sudut serangan serta aspek keselamatan

Berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang seni bela diri seperti tae kwan do dan koreografi aksi, Deva berkata adegan pertarungan klimaks merupakan antara babak paling mencabar kerana melibatkan pelbagai aksi seperti tendangan udara, lompatan, akrobatik dan penggunaan senjata.

“Sebagai stuntman, Syazlie Syazz memahami teknik dan mampu melaksanakannya dengan baik. Itu antara kelebihan besar yang membantu kami menghasilkan babak aksi tanpa terlalu bergantung pada pelakon lagak ngeri atau penggunaan tali keselamatan,” katanya.

Selain Syazlie, Deva berkata lebih 20 pelakon lagak ngeri turut membawakan pelbagai watak dalam filem itu dan setiap pergerakan yang melibatkan seni silat akan dirujuk kepada mereka yang pakar bagi memastikan teknik, posisi badan serta penggunaan senjata kekal berlandaskan seni bela diri tradisional.

Menggabungkan aksi mendebarkan, seni persilatan, warisan budaya dan semangat perpaduan, The Keris yang turut dibintangi Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Jalaluddin, mula ditayangkan di seluruh negara sejak 2 Julai lepas manakala di Singapura bermula semalam (9 Julai). – Bernama

Continue Reading

Previous: Bintang beri penghormatan kepada penyanyi ‘Total Eclipse of the Heart’, Bonnie Tyler, yang meninggal dunia pada usia 75 tahun
Next: Gelaran Datuk iktiraf jasa Nordin Ahmad selepas 55 tahun pemergiannya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.