
BINTANGOR: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyampaikan bantuan tongkat baharu kepada Yong dari Sungai Petai bagi memudahkan pergerakannya.
Ding berkata, setiap bantuan yang disalurkan, walaupun kelihatan kecil, mampu memberi impak besar kepada penerima, khususnya dalam membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan berdikari.
“Setiap bantuan yang disalurkan, walaupun kelihatan kecil, mampu memberi impak yang besar kepada penerimanya.
“Saya berharap tongkat yang disumbangkan ini dapat membantu memudahkan pergerakan Yong, sekali gus membolehkan beliau menjalani aktiviti harian dengan lebih selesa, selamat dan berdikari,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau berkata, kebajikan rakyat sentiasa menjadi antara keutamaan bagi memastikan tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada menerima perhatian serta bantuan sewajarnya.
“Semangat prihatin, saling membantu dan berganding bahu dalam masyarakat perlu terus dipupuk bagi meringankan beban warga emas, individu kurang upaya serta mereka yang memerlukan bantuan.
“Saya akan terus komited turun padang untuk mendengar sendiri keperluan rakyat dan berusaha menyalurkan bantuan mengikut kemampuan serta keperluan semasa,” katanya.
Pada masa yang sama, Ding turut mendoakan agar Yong sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan pada masa hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa bekerjasama menyalurkan maklumat mengenai individu yang memerlukan bantuan.
Katanya, kerjasama tersebut membolehkan bantuan disampaikan dengan lebih cepat, tepat dan berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Oleh Earl Anek