
DEBAK: Projek pembinaan Pejabat Daerah Kecil Debak bernilai RM8.89 juta yang dilancarkan hari ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta memastikan pembangunan yang seimbang dapat dinikmati masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata projek bernilai RM8,887,740 itu bukan sekadar melibatkan pembinaan sebuah bangunan baharu, malah menjadi titik permulaan kepada lembaran baharu dalam sejarah pembangunan Daerah Kecil Debak.
Beliau berkata pembinaan pejabat baharu itu merupakan pelaburan strategik untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan, memperkukuh penyelarasan pembangunan serta menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, projek tersebut mula dibina pada 15 Disember 2025 dan dijadual siap dalam tempoh 20 bulan, iaitu pada 14 Ogos 2027, sekali gus mencerminkan perancangan yang teliti bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.
“Daerah Kecil Debak bukanlah kawasan yang asing dalam sejarah pembangunan Bahagian Betong. Sejak diwujudkan sekitar 1970-an, Pejabat Daerah telah memainkan peranan penting sebagai pusat pentadbiran kerajaan, penyelaras pembangunan dan penghubung utama antara kerajaan dengan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Bina Baharu Pejabat Daerah Kecil Debak di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan pembangunan yang inklusif tanpa meminggirkan kawasan luar bandar, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan pentadbiran yang lebih moden dan cekap.
Katanya, beliau berpuas hati apabila dimaklumkan bahawa kemajuan pembinaan projek itu berjalan mengikut jadual dan berharap kontraktor dapat mengekalkan momentum berkenaan sehingga projek siap mengikut spesifikasi, piawaian kualiti serta mengutamakan aspek keselamatan.
“Apabila siap kelak, bangunan Pejabat Daerah Kecil Debak yang baharu akan menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif dengan blok pentadbiran yang sistematik, bilik mesyuarat yang lebih selesa serta pelbagai kemudahan moden bagi memenuhi keperluan pentadbiran semasa,” katanya.
Beliau berkata projek itu turut menyediakan bilik khas untuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam menghubungkan kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
Selain itu, bangunan berkenaan akan dilengkapi dengan Bilik Mahkamah Bumiputera bagi memperkukuh fungsi institusi adat dalam menyelesaikan perkara berkaitan masyarakat mengikut peruntukan undang-undang serta adat yang berkuat kuasa.
Kemudahan lain yang disediakan termasuk tempat letak kereta berbumbung, ruang menunggu yang lebih selesa, kemudahan mesra pelanggan serta infrastruktur sokongan yang lebih lengkap bagi meningkatkan keselesaan orang ramai ketika berurusan dengan jabatan kerajaan.
“Pembinaan Pejabat Daerah Kecil Debak juga selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memperkasa transformasi digital serta memperluas pelaksanaan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara digital yang lebih menyeluruh dan cekap,” katanya.
Menurut Dr Mohammad Razi, kewujudan infrastruktur baharu itu akan menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan berteraskan teknologi, sekali gus memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat.
Beliau yakin projek berkenaan akan memberi manfaat besar kepada masyarakat Debak apabila siap kelak menerusi peningkatan kecekapan pentadbiran, penyelarasan pembangunan yang lebih berkesan serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkualiti demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh ketua-ketua jabatan serta ketua masyarakat dan ketua kaum setempat.
Oleh Adi Safarman