
KUALA LUMPUR: Sebanyak 718.43 kilogram (kg) vape atau rokok elektronik disyaki mengandungi bahan terlarang dirampas sejak 2023 hingga Jun lepas, dengan 585 tangkapan yang melibatkan 400 kes.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan rampasan vape yang disyaki mengandungi bahan terlarang seperti dadah sintetik, tetrahydrocannabinol (THC), ekstrak mushroom dan bahan psikoaktif lain pada 2023 adalah sebanyak 471.50 kg melibatkan 66 tangkapan (32 kes), menurun pada 2024 kepada 62.68 kg melibatkan 114 tangkapan (92 kes).
Bagaimanapun, angka itu meningkat kepada 115.22 kg pada 2025 melibatkan 138 tangkapan (108 kes) dan pada tahun ini sehingga Mei lepas, jumlah rampasan adalah sebanyak 69.03kg melibatkan 267 tangkapan (168 kes).
“KDN memandang serius trend penyalahgunaan vape bercampur bahan terlarang yang menyasarkan golongan muda dan pelajar yang dijual secara dalam talian, media sosial dan perkhidmatan kurier,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Parlimen hari ini.
Menurut KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan akan terus mempergiat operasi khas bersepadu bersama agensi penguatkuasaan berkaitan untuk mengekang sindiket pengedaran vape berbahaya terutama di premis hiburan, kios vape, makmal dadah sintetik dan lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan golongan muda.
Menurut KDN, hasil Operasi Khas Vape 1.0 terhadap 1,670 premis pada April lepas, sebanyak 728 premis didapati melanggar peraturan, dengan 8,091 peranti vape, 5,257 kartrij vape dan 205.764 kg bahan serta cecair vape bernilai RM4.59 juta telah dirampas.
“Rampasan melibatkan bahan dan cecair yang disyaki mengandungi dadah sebanyak 19.67 kg yang bernilai RM2.9 juta,” menurut kementerian itu.
Di samping itu, KDN turut memperkukuh risikan dan pemantauan siber terhadap aktiviti penjualan vape yang mengandungi bahan terlarang, meningkatkan keupayaan analisis forensik dan makmal dan melaksanakan penguatkuasaan lebih agresif.
Kementerian itu turut melaksanakan program advokasi, pendidikan pencegahan dadah dan kesedaran awam khususnya kepada golongan belia dan pelajar sekolah.
KDN akan terus mengambil pendekatan tegas dan menyeluruh bagi memastikan ancaman penyalahgunaan vape berbahaya ini dapat dibanteras demi melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda. – Bernama