Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Belgium tekad pecahkan benteng kebal Sepanyol pada suku akhir Piala Dunia
  • SUKAN

Belgium tekad pecahkan benteng kebal Sepanyol pada suku akhir Piala Dunia

Utusan Sarawak 8 hours ago
PENYERANG Sepanyol, Lamine Yamal (#19). Foto AFP

LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Belgium berdepan cabaran getir apabila menentang Sepanyol pada suku akhir Piala Dunia FIFA 2026, pada 3.00 pagi Sabtu ini (waktu Malaysia) dengan misi sukar untuk menjadi pasukan pertama membolosi benteng pertahanan juara Eropah itu dalam kejohanan kali ini.

Kemenangan 1-0 ke atas Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo menyaksikan anak buah Luis de la Fuente mencipta sejarah sebagai pasukan pertama mencatat enam perlawanan berturut-turut tanpa dibolosi dalam sejarah Piala Dunia.

Walaupun tidak mempamerkan ketajaman jentera serangan seperti Perancis, Sepanyol terus mengamalkan corak permainan berasaskan penguasaan bola secara berhemah, iaitu pendekatan yang pernah membawa mereka muncul juara dunia di Afrika Selatan pada 2010.

Pemain muda berbakat, Lamine Yamal, dilihat sebagai tonggak utama jentera serangan. Namun begitu, beliau tiba di Amerika Syarikat dalam keadaan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami pada penghujung musim dan hanya menjaringkan satu gol daripada lima perlawanan.

PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku (#9). Foto AFP

Bagaimanapun, Mikel Oyarzabal berjaya mengisi kekosongan itu apabila meledak empat gol, termasuk dua jaringan ketika Sepanyol menewaskan Austria 3-0 pada pusingan 32 terbaik.

Pemain tengah FC Barcelona, Dani Olmo, berkata rakan sekelabnya itu semakin menyesuaikan diri dengan kejohanan berkenaan.

“Beliau memberikan sumbangan besar kepada pasukan menerusi kemahiran menggelecek dan kehadirannya di atas padang. Setiap kali beliau menguasai bola, dua atau tiga pemain lawan akan mengepungnya dan keadaan itu membuka ruang kepada rakan sepasukan.

“Lamine menjaringkan gol dan mencipta bantuan jaringan. Itulah yang dilakukannya sepanjang kerjayanya setakat ini. Walaupun tidak menjaringkan gol, beliau tetap memberikan sumbangan besar kepada pasukan,” katanya.

Hakikatnya, Sepanyol tidak perlu menjaringkan banyak gol untuk mencatat kemenangan kerana mereka hanya membenarkan enam percubaan tepat ke arah gawang dalam lima perlawanan setakat ini.

“Kami ialah sebuah pasukan yang setiap pemain menyerang dan setiap pemain juga bertahan. Jurulatih sentiasa menegaskan bahawa penyerang merupakan pemain pertama yang perlu bertahan, diikuti pemain lain.

“Barisan pertahanan kami beraksi dengan amat cemerlang dan ini merupakan satu pencapaian bersejarah. Kami juga gembira buat penjaga gol kami, Unai Simon. Jika kami tidak dibolosi, peluang untuk menang menjadi lebih cerah,” katanya.

Generasi Emas Belgium

Belgium yang diketuai Youri Tielemans menempuh laluan berliku dalam saingan kalah mati.

Mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Senegal 3-2 sebelum membelasah tuan rumah bersama, Amerika Syarikat, 4-1 pada pusingan 16 terbaik hasil dua jaringan Charles De Ketelaere pada babak pertama.

Piala Dunia kali ini dijangka menjadi pentas terakhir buat beberapa tonggak utama Generasi Emas Belgium, termasuk pemain tengah kreatif Kevin De Bruyne dan penyerang Romelu Lukaku yang kini beraksi bersama Napoli.

Kedua-dua pemain itu tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Amerika Syarikat. Bagaimanapun, Lukaku yang dimasukkan sebagai pemain gantian berjaya menjaringkan gol.

Mereka kekal menjadi ancaman utama, manakala penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois, terus diiktiraf sebagai antara penjaga gol terbaik dunia.

Tiga gol yang dijaringkan Lukaku dalam kejohanan ini menyaksikannya mengumpul lapan gol di pentas Piala Dunia, sekali gus menyamai rekod Diego Maradona, Rudi Voller dan Rivaldo.

Ketua jurulatih, Rudi Garcia, turut memiliki ramai pemain berkualiti lain, termasuk pemain sayap Manchester City, Jeremy Doku, dan pemain Arsenal, Leandro Trossard, yang mampu memberikan ancaman di jentera serangan.

Pertembungan di Los Angeles merupakan penampilan ketiga Belgium di peringkat suku akhir dalam empat edisi Piala Dunia. Namun begitu, mereka masih belum pernah mara ke perlawanan akhir.

Sepanyol pula, meskipun berstatus kuasa besar bola sepak dunia, hanya dua kali berjaya melepasi peringkat suku akhir, iaitu mara ke peringkat akhir pada edisi 1950 sebelum muncul juara dunia di Afrika Selatan 60 tahun kemudian, iaitu pada 2010. — AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Mesir mahu pasukan pengadil digantung sepanjang baki Piala Dunia
Next: Perancis, Maghribi mulakan aksi suku akhir Piala Dunia yang penuh tumpuan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.