
ISTANBUL: Sebanyak 20 turbin angin di barat daya Belanda diarahkan supaya dihentikan operasinya pada waktu siang berikutan kematian seekor helang laut pada April, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik penyiar NOS hari ini.
Langkah itu menjejaskan 20 daripada 33 turbin angin di sebuah tapak di Wilayah Zeeland, yang menyaksikan ia tidak akan beroperasi pada waktu siang dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Arahan berkenaan dikeluarkan selepas beberapa organisasi pemuliharaan alam semula jadi meminta pihak berkuasa Wilayah Zeeland menguatkuasakan peraturan perlindungan hidupan liar berikutan seekor helang laut mati akibat melanggar bilah turbin pada April.
Empat tahun lepas, seekor lagi helang laut dilaporkan turut terbunuh akibat terkena turbin angin di lokasi yang sama.
Bagaimanapun, turbin berkenaan akan terus beroperasi pada waktu malam memandangkan helang laut tidak aktif pada waktu itu.
Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pemilik taman angin itu dilaporkan dikehendaki memasang sistem pengesanan burung yang berupaya memperlahankan bilah turbin dalam masa beberapa saat sekiranya terdapat helang laut yang menghampiri kawasan terbabit.- Bernama-Anadolu