
MALUDAM: Projek naik taraf Masjid Baharu Kampung Maludam kini memasuki fasa pelaksanaan apabila majlis penyerahan tapak projek kepada pihak masjid berlangsung dengan sempurna semalam, sekali gus menandakan bermulanya kerja-kerja menaik taraf kemudahan rumah ibadah berkenaan.
Majlis tersebut disaksikan oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Pejabat Daerah Kecil Maludam serta Pusat Khidmat DUN N.28 Lingga sebagai tanda bermulanya kerja-kerja naik taraf yang dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan rumah ibadah sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselesaan masyarakat.
Menurut beliau, usaha menaik taraf masjid bukan sahaja memberi manfaat kepada jemaah, malah memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat penyatuan masyarakat, pembangunan sahsiah serta penyebaran ilmu agama.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur keagamaan agar ia selari dengan keperluan semasa dan mampu menyediakan persekitaran yang lebih selesa serta kondusif kepada seluruh jemaah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam menyelaras pelaksanaan projek tersebut, termasuk JKR, JAIS, Pejabat Daerah Kecil Maludam, pihak kontraktor serta jawatankuasa pengurusan masjid.
Dayang Noorazah berharap semua pihak terus memberikan kerjasama sepanjang tempoh pembinaan supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secepat mungkin.
Tambah beliau, projek berkenaan turut mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk terus memperkasakan institusi masjid sebagai pemangkin kepada perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti di kawasan luar bandar.
Beliau yakin apabila siap kelak, Masjid Baharu Kampung Maludam akan menjadi sebuah pusat ibadah yang lebih lengkap, selesa dan berfungsi sebagai wadah memperkukuh ukhuwah serta pembangunan ummah demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Oleh Adi Safarman