
KUCHING: Reaksi warganet terhadap hantaran Facebook (FB) Utusan Sarawak mengenai pengumuman AirBorneo Airways (AirBorneo) yang menawarkan tambang promosi ‘Sarawakku Sayang’ RM375 sehala bagi laluan Kuching–Kuala Lumpur memperlihatkan pelbagai pandangan, daripada menyifatkannya sebagai berbaloi sehingga menganggap harga tersebut masih mahal bagi rakyat biasa.
Berdasarkan semakan harga semasa, berikut merupakan perbandingan tambang serta kemudahan yang ditawarkan oleh beberapa syarikat penerbangan bagi laluan Kuching–Kuala Lumpur:
- AirBorneo – RM374.88 (semua termasuk), bagasi kabin 10kg, bagasi daftar masuk 23kg, makanan dan minuman percuma, pemilihan tempat duduk percuma.
- AirAsia – RM269 (tambang asas), bagasi kabin 7kg, tiada bagasi daftar masuk, makanan dan pemilihan tempat duduk dikenakan caj tambahan.
- Malaysia Airlines – RM374.88 (semua termasuk), bagasi kabin 7kg, bagasi daftar masuk 20kg, makanan percuma dan pemilihan tempat duduk mengikut kelas tambang.
- Batik Air (Super Saver) – RM318.72 (harga asas), bagasi kabin 7kg, tiada bagasi daftar masuk, makanan dan pemilihan tempat duduk dikenakan caj tambahan.
Hantaran tersebut kemudian dihujani ratusan komen dengan rata-rata netizen membahaskan sama ada tambang RM375 itu benar-benar berpatutan atau masih membebankan, khususnya kepada rakyat Sarawak yang kerap berulang-alik ke Semenanjung.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati sebahagian netizen berpandangan harga itu masih berbaloi kerana sudah merangkumi pelbagai kemudahan yang lazimnya dikenakan caj tambahan oleh syarikat penerbangan lain.
Pengguna akaun FB yang bernama Lisa WangJie MacEwell berkata harga tersebut boleh dianggap munasabah kerana sudah termasuk bagasi dan hidangan dalam penerbangan.
Mohd Khairul Hafiz pula berpendapat tambang AirBorneo lebih sesuai dibandingkan dengan Malaysia Airlines dan bukannya AirAsia, sambil menjelaskan harga AirAsia biasanya akan meningkat selepas ditambah bagasi serta makanan.
Pandangan sama turut dikongsi David Maxon, Ismail Mubaraq Hussein, Bak Den dan Faizal Suud yang menyifatkan pakej ditawarkan AirBorneo memberikan nilai yang baik kerana turut merangkumi bagasi daftar masuk, makanan serta pemilihan tempat duduk.
Bagaimanapun, tidak kurang juga yang berpendapat tambang RM375 masih terlalu mahal bagi kebanyakan rakyat.
Henry Nyigor berkata harga tersebut mungkin murah bagi sesetengah golongan, namun masih tinggi untuk rakyat biasa dan berharap AirBorneo dapat menawarkan diskaun khas kepada rakyat Sarawak serta warga emas pada masa hadapan.
Mohd Fahmizan Arsat pula berpandangan tambang RM99 sehala atau sekitar RM300 pergi balik selepas ditambah bagasi dan makanan adalah lebih sesuai, manakala Roslan Udin menyifatkan RM375 masih mahal kerana menurutnya AirAsia kadangkala menawarkan tambang pergi balik pada kadar tersebut.
Sharifah Suraya, Walter Rahta, Mohamed Omar Basri, Mohd Rosley Bin Abdullah, Mastika Samat, Pengiran Sufizal Awangku Roslan dan Nera Sanggah turut menyuarakan pandangan bahawa harga RM375 masih belum memenuhi jangkaan mereka terhadap janji tambang lebih murah yang pernah dibayangkan sebelum ini.
Pada masa sama, terdapat juga netizen yang meminta orang ramai memberi ruang kepada AirBorneo untuk berkembang memandangkan syarikat penerbangan milik Sarawak itu baru memulakan operasi dan memerlukan masa untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri penerbangan.
Pengguna FB akaun bernama Adam Hawa berkata orang ramai perlu memahami bahawa operasi sebuah syarikat penerbangan melibatkan pelbagai kos, selain mengingatkan bahawa tidak munasabah untuk mengharapkan tambang terlalu rendah sehingga menjejaskan kelangsungan syarikat.
Menurutnya, jika semua mahu harga tiket pada kadar terlalu murah, syarikat penerbangan juga akan berdepan kesukaran untuk bertahan dalam jangka panjang.
Pandangan sama disuarakan Jimmy Panai Daud yang berkata ramai hanya melihat harga tiket tanpa mengambil kira kos operasi seperti bahan api, penyelenggaraan pesawat, gaji juruterbang, kru kabin serta pekerja sokongan.
“Kalau semua mahu tiket RM99 sepanjang masa, macam mana syarikat mahu bertahan?” antara pandangan yang dikongsikan beliau.
Molly Piong turut menyenaraikan pelbagai komponen kos yang perlu ditanggung syarikat penerbangan termasuk bayaran lapangan terbang, juruterbang, juruteknik, penyelenggaraan, minyak pesawat serta komitmen lain berkaitan operasi penerbangan.
Sementara itu, Zulkaria Bin Aleng berpendapat rakyat perlu memberi sokongan kepada syarikat penerbangan milik Sarawak kerana AirBorneo masih berada pada fasa awal operasi dan memerlukan sokongan pengguna untuk terus berkembang.
Pelbagai Biz pula berkata pengguna perlu melihat keseluruhan aspek perniagaan sebelum menilai harga tiket, termasuk kos pembelian pesawat, bahan api, gaji pekerja dan penyelenggaraan.
Beliau berkata, pilihan masih berada di tangan pengguna kerana mereka boleh memilih syarikat penerbangan yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
Jonathan Ling Julai pula berpendapat bahawa orang ramai tidak seharusnya membandingkan AirBorneo dengan syarikat penerbangan tambang rendah kerana konsep operasi adalah berbeza, dengan AirBorneo menawarkan perkhidmatan yang lebih hampir kepada penerbangan penuh perkhidmatan.
Secara keseluruhannya, reaksi netizen menunjukkan tiga pandangan utama terhadap tambang AirBorneo RM375 sehala;
1. Sokong dan anggap berbaloi
- Termasuk bagasi, makanan dan pemilihan tempat duduk.
- Tiada caj tambahan untuk kemudahan tertentu.
- Berbaloi berbanding pakej tambang asas.
2. Anggap masih mahal
- Tinggi bagi rakyat biasa, pelajar dan keluarga.
- Harap ada tambang khas atau lebih rendah.
- Banding dengan tambang promosi syarikat lain.
3. Minta beri peluang kepada AirBorneo
- Syarikat masih baharu.
- Perlu ambil kira kos operasi.
- Tambang terlalu rendah boleh jejaskan kelangsungan syarikat.
- Jangan banding harga perkhidmatan penerbangan penuh dengan penerbangan tambang rendah kerana model operasinya berbeza.
Perbincangan itu mencerminkan jangkaan tinggi rakyat terhadap AirBorneo sebagai syarikat penerbangan milik Sarawak, yang bukan sahaja dinilai dari aspek harga tiket, tetapi juga kemampuan menyediakan perkhidmatan berkualiti dan kesalinghubungan udara yang lebih baik pada masa hadapan.
Untuk rekod, AirBorneo pada hari ini mengumumkan pembukaan jualan tiket bagi laluan Kuching–Kuala Lumpur dengan tambang promosi ‘Sarawakku Sayang’ bermula RM375 sehala bagi Kelas Ekonomi dan RM736 sehala bagi Kelas Perniagaan, termasuk cukai lapangan terbang serta surcaj bahan api.
Tempahan tiket telah dibuka mulai hari ini 7 Julai, manakala penerbangan sulung dijadualkan bermula pada 20 Julai.
Oleh Masrin Affirah