Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Irfan Annuar buktikan bakat Sarawak mampu bersaing dalam teknologi angkasa
  • TEKNOLOGI

Irfan Annuar buktikan bakat Sarawak mampu bersaing dalam teknologi angkasa

Utusan Sarawak 8 hours ago
IRFAN Annuar berkongsi pengalaman pembangunan satelit CubeSat MAVERIC bersama pelajar Universiti Teknologi Swinburne Sarawak menerusi Program Inspirasi Anak Sarawak. Foto Adele Rissa 

KUCHING: Anak Sarawak, Irfan Annuar, membuktikan kemampuan bakat tempatan dalam meneroka teknologi angkasa apabila terlibat dalam pembangunan satelit kecil CubeSat MAVERIC yang bakal dilancarkan ke orbit.

Irfan, calon Sarjana Sains Kejuruteraan Astronautik di Universiti Southern California, Amerika Syarikat, merupakan antara ahli pasukan yang membangunkan MAVERIC, sebuah CubeSat penyelidikan yang dihasilkan bersama kumpulan pelajar dan penyelidik universiti berkenaan.

Menurut Irfan, pengalaman menyaksikan satelit yang dibangunkan bersama pasukannya dihantar ke angkasa merupakan detik yang sukar digambarkan selepas melalui proses reka bentuk, pembangunan, pengujian dan penambahbaikan selama beberapa tahun.

“Sesuatu yang anda bina, sentuh dan tandatangani, kemudian dihantar ke angkasa, adalah pengalaman yang sangat luar biasa.

“Beberapa bulan lalu, satelit ini masih berupa komponen yang berasingan. Melihatnya berkembang menjadi sebuah satelit yang lengkap merupakan satu pengalaman yang amat mengagumkan,” katanya.

 IRFAN berkongsi proses membangunkan satelit CubeSat. Foto Adele Rissa 

Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian bersama pelajar menerusi Program Inspirasi Anak Sarawak: Pelancaran Satelit MAVERIC dan sesi temu bual yang berlangsung di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, pelancaran tersebut membuktikan bahawa anak Sarawak mampu menghasilkan teknologi canggih serta bersaing dalam bidang kejuruteraan angkasa.

“Ia menunjukkan kepada setiap anak Sarawak bahawa perkara seperti ini boleh dilakukan walaupun bermula dari Sarawak,” ujarnya.

Irfan berkata, pembangunan MAVERIC mengambil masa hampir empat tahun dan membabitkan sekitar 50 pelajar sepanjang proses reka bentuk, pembuatan serta integrasi sistem.

Menurutnya, pada peringkat akhir pembangunan, pasukan teras terdiri daripada kira-kira 10 individu yang bertanggungjawab terhadap enam sistem utama satelit, termasuk komunikasi, kawalan, kuasa, komputer, perisian serta muatan.

SALAH seorang pelajar ketika sesi soal jawab pada sesi perkongsian Program Inspirasi Anak Sarawak di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, hari ini. Foto Adele Rissa 

Irfan turut mendedahkan bahawa antara cabaran terbesar dalam membangunkan CubeSat ialah memastikan setiap komponen mampu berfungsi dalam persekitaran angkasa yang ekstrem.

“Satelit dibangunkan secara berperingkat, sistem demi sistem. Selepas itu, ia menjalani pelbagai ujian termasuk ujian gegaran yang menyerupai keadaan semasa pelancaran serta ujian vakum haba bagi memastikan ia mampu bertahan dalam suhu ekstrem di angkasa,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun CubeSat bersaiz kecil, pembangunannya memerlukan tahap ketelitian yang tinggi kerana setiap komponen memainkan peranan penting dalam memastikan satelit berfungsi dengan baik.

Menurutnya, CubeSat MAVERIC dilengkapi beberapa komponen utama, antaranya sistem kuasa, antena komunikasi, komputer atas kapal, struktur fizikal, sistem kawalan orientasi serta kamera sebagai muatan utama.

“Muatan merupakan sebab utama sesuatu CubeSat dibina. Dalam kes kami, kamera digunakan untuk menguji bagaimana paparan kristal cecair (LCD) berfungsi dalam persekitaran angkasa,” katanya.

Irfan berkata, kelebihan CubeSat ialah reka bentuknya yang piawai membolehkan satelit bersaiz kecil dibangunkan pada kos yang lebih rendah berbanding satelit konvensional yang lazimnya memerlukan perbelanjaan berjuta-juta ringgit.

Katanya, MAVERIC dibangunkan dengan kos kira-kira RM700,000 hingga RM800,000, sekali gus menunjukkan bahawa teknologi angkasa kini lebih mudah diakses oleh institusi penyelidikan berskala kecil.

“Manfaat terbesar bukan sekadar memiliki satelit, tetapi membina keupayaan dari segi kepakaran, pengetahuan dan kemahiran untuk menghasilkan teknologi tinggi di tempat sendiri.

“Saya percaya Sarawak mampu membangunkan industri ini di negeri ini. Keupayaan kejuruteraan sudah ada, kini kita hanya memerlukan pelan dan visi yang jelas,” ujarnya.

Oleh Adele Rissa

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Sony henti keluarkan permainan baharu PlayStation dalam cakera mulai 2028

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.