Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Industri satelit Sarawak perlukan tenaga pakar pelbagai bidang kejuruteraan
  • PENDIDIKAN

Industri satelit Sarawak perlukan tenaga pakar pelbagai bidang kejuruteraan

Utusan Sarawak 15 hours ago
PROFESOR Lau Hieng Ho dan Datuk Dr Annuar Rapaee pada Program Inspirasi Anak Sarawak: Pelancaran Satelit MAVERIC dan sesi temu bual bersama Irfan Annuar di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, hari ini. Foto Adele Rissa  

KUCHING: Aspirasi Sarawak untuk melancarkan satelit pertamanya menjelang 2030 memerlukan pembangunan bakat dalam pelbagai bidang, bukan sahaja kejuruteraan aeroangkasa, malah turut melibatkan kepakaran dalam elektronik, teknologi maklumat, pembangunan perisian, robotik serta analisis data.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pembangunan satelit bukanlah usaha seorang individu, sebaliknya memerlukan kerjasama tenaga kerja daripada pelbagai disiplin kejuruteraan bagi menyokong aspirasi pembangunan Sarawak menjelang 2030 menerusi Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).

Beliau berkata, bidang teknologi satelit merupakan bidang khusus yang masih kurang diceburi bukan sahaja di Malaysia, malah di Sarawak. Justeru, pendedahan kepada golongan muda perlu dipertingkatkan bagi menarik minat mereka terhadap sektor berkenaan.

“Pembangunan satelit bukanlah satu usaha seorang individu. Ia melibatkan pelbagai disiplin termasuk kejuruteraan elektronik, pembangunan perisian, sains komputer, teknologi maklumat, sistem kamera dan analisis data.

“Kita boleh memperoleh banyak data daripada angkasa lepas, tetapi cabarannya ialah bagaimana mentafsir data tersebut dengan tepat serta memanfaatkannya untuk pembangunan masa depan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Inspirasi Anak Sarawak: Pelancaran Satelit MAVERIC dan sesi temu bual bersama Irfan Annuar, calon Sarjana Sains Kejuruteraan Astronautik di Universiti Southern California, Amerika Syarikat, yang berlangsung di Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, hari ini.

Menurut beliau, sesi perkongsian seumpama itu berpotensi diperluaskan ke universiti lain di Sarawak, khususnya institusi yang menawarkan program kejuruteraan.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Irfan, yang dijangka pulang ke Malaysia dari Amerika Syarikat dalam masa terdekat, bagi mengadakan sesi perkongsian di lokasi lain.

Sementara itu, Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Ir. Professor Lau Hieng Ho berkata, universiti itu bersedia menyumbang kepakaran sedia ada bagi menyokong pembangunan ekosistem satelit Sarawak.

Beliau berkata, pembangunan satelit memerlukan kerjasama pelbagai disiplin dan tidak hanya bergantung kepada jurutera aeroangkasa.

“Satelit bukan hanya mengenai jurutera aeroangkasa. Ia memerlukan kerjasama pelbagai disiplin termasuk kejuruteraan elektrik dan elektronik, mekanikal, perisian, robotik serta mekatronik,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik, robotik, mekatronik serta kejuruteraan perisian membolehkan universiti itu menyumbang kepada penyediaan tenaga kerja bagi sektor berkenaan.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Irfan merupakan antara anak Sarawak terawal yang terlibat secara khusus dalam bidang pembangunan CubeSat.

Tambah beliau, penglibatan Irfan dalam bidang tersebut berlaku secara kebetulan dan bukan dirancang secara khusus bagi memenuhi sasaran pembangunan satelit Sarawak menjelang 2030.

“Penglibatan anak muda dalam bidang baharu seperti teknologi satelit perlu diberi ruang kerana golongan muda mempunyai minat dan hala tuju tersendiri dalam menentukan masa depan mereka,” ujarnya.

Oleh Adele Rissa

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: KPM sasar buka 1,040 kelas prasekolah baharu menjelang 2027

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.