KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pemandu atas permintaan, Lailah, sedang mencari pelabur dinamik dan rakan korporat kerana ia merancang untuk menembusi pasaran ASEAN lain dalam masa terdekat.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Peter Raja Xavier berkata, pelabur dan rakan kongsi yang betul akan membantu syarikat melabur dalam pengiklanan serta pemasaran, pembangunan teknologi dan tenaga kerja.
Syarikat itu juga sedang mengukuhkan operasi Malaysia sebelum menembusi pasaran Indonesia dan Singapura dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Kami menjana pembiayaan sendiri sejak daripada penubuhan sehingga sekarang dan kami sedang mencari pelabur atau rakan korporat untuk bekerjasama dalam pelan pengembangan di seluruh negara dan serantau,” katanya kepada Bernama.
Sekarang ini, Lailah menawarkan perkhidmatan di Lembah Klang serta akan memperluaskan perkhidmatannya ke Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Tempahan dalam talian tidak lama lagi akan tersedia pada suku ketiga tahun ini melalui aplikasi mudah alih Lailah yang sedang dibangunkan,” katanya.
Bagi memastikan kepuasan pelanggan dalam setiap perjalanan, Xavier berkata semua pemandunya akan melalui proses pemeriksaan dan latihan yang ketat bagi memastikan individu yang terbaik dan yang paling berpengalaman, menjadi pemandu mereka.
“Perlindungan insurans juga disediakan daripada saat pemandu kami memegang stering kereta pelanggan,” katanya.
Ditubuhkan pada 2015, Lailah, yang dimiliki oleh My Driver Group Sdn Bhd, menyediakan pemandu atas permintaan untuk tujuan peribadi, korporat serta komersial selain daripada perkhidmatan valet mudah alih yang berkhidmat kepada orang ramai serta syarikat.
Pelanggan hanya perlu menghubungi atau Whatsapp talian 013-4962929 dan 013-628292 untuk pertanyaan dan tempahan.
Selepas pengesahan tempahan, pelanggan boleh membayar caj melalui pindahan bank atau wang tunai.
Lailah juga menyediakan pemandu tetap untuk setiap bulan kepada pelanggan korporat.
– Bernama