
BINTULU: Pesta Sebauh 2026 tampil dengan kelainan apabila digabungkan bersama AgroFest Sebauh 2026, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform mempromosikan sektor pelancongan, pertanian dan keusahawanan di daerah ini.
Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling Bartholomew Allu berkata, Pesta Sebauh yang berlangsung dari 3 hingga 12 Julai merupakan acara tahunan yang didaftarkan secara rasmi dalam kalendar pelancongan Sarawak dan dianjurkan sepenuhnya oleh Pejabat Daerah Sebauh.
Menurutnya, AgroFest Sebauh 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 12 Julai di lokasi sama bakal menawarkan lebih banyak aktiviti serta reruai jualan kepada pengunjung di samping mempromosikan produk pertanian dan usahawan tempatan.
“Pesta Sebauh pada kali ini merupakan satu acara yang unik kerana ia merupakan gabungan antara Pesta Sebauh dan AgroFest Sebauh 2026 yang akan berlangsung mulai 10 hingga 12 Julai di tapak yang sama.

“Pelbagai aktiviti dan reruai jualan juga akan disediakan untuk pengunjung yang hadir,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Sebauh 2026 di Parking Lot BDA Sebauh di sini, semalam.
Beliau berkata, lebih 40 gerai usahawan tempatan mengambil bahagian pada pesta itu dengan menawarkan pelbagai produk termasuk makanan, minuman, pakaian dan kraftangan.
Katanya, antara acara utama yang diadakan adalah pertandingan Sepak Takraw, pertandingan Ratu Ibu Kebaya, Sebauh Bike Show, Battle of the Band dan Lumba Bot Laju yang dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung dengan penyertaan lebih 50 pasukan termasuk dari Brunei.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, perlumbaan Regata tidak dapat dianjurkan tahun ini berikutan kekangan masa untuk membuat persiapan dan menarik penyertaan, namun pihaknya berharap acara itu dapat dianjurkan semula pada edisi akan datang.
Thaddeus turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat swasta, pertubuhan masyarakat serta ketua masyarakat dan ketua kaum yang berganding bahu menjayakan Pesta Sebauh 2026.
Oleh Carolyne Utih