Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Banjir tidak boleh jejaskan agenda pembangunan Sebauh
  • WILAYAH

Banjir tidak boleh jejaskan agenda pembangunan Sebauh

Utusan Sarawak 9 hours ago
 DATO Sri Dr. Stephen Rundi Utom merakam gambar kenangan bersama tetamu jemputan, pemimpin masyarakat dan pengunjung selepas merasmikan Pesta Sebauh 2026 di Parking Lot BDA Sebauh, Bintulu semalam. 

BINTULU: Risiko banjir yang berulang tidak boleh dibiarkan menjejaskan agenda pembangunan Sebauh yang sedang berkembang, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata, usaha menaik taraf sistem perparitan perlu diberi keutamaan bagi memastikan pembangunan perumahan, kemudahan awam dan aktiviti ekonomi di kawasan itu dapat dilaksanakan secara mampan.

Menurutnya, kejadian banjir yang melanda Bintulu baru-baru ini dalam tempoh singkat membuktikan sistem saliran sedia ada perlu dinilai semula bagi mengenal pasti puncanya, termasuk kemungkinan longkang tersumbat, saliran terhalang atau kapasiti parit yang tidak lagi mencukupi.

 DATO Sri Dr. Stephen Rundi Utom berucap pada majlis perasmian Pesta Sebauh 2026 di Parking Lot BDA Sebauh, Bintulu semalam.

“Dahulu penduduk di kawasan itu tidak ramai, tetapi kini jumlah rumah semakin bertambah, sedangkan sebahagian sistem saliran masih menggunakan parit tanah.

“Kita mesti menaik taraf sistem perparitan itu. Pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) perlu memberi perhatian terhadap perkara ini. Ini KPI anda dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Saya mahu sistem perparitan di Sebauh disempurnakan. Jika Sebauh terus dilanda banjir, semua usaha pembangunan akan terjejas,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Sebauh 2026 di Parking Lot BDA Sebauh di sini, semalam.

Beliau turut menggesa BDA memberi perhatian serius terhadap penambahbaikan sistem saliran di Sebauh agar infrastruktur kawasan itu seiring dengan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan.

Dalam pada itu, Stephen Rundi berkata, penganjuran Pesta Sebauh perlu diteruskan sebagai platform yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, sekali gus memperkukuh hubungan komuniti serta mempromosikan potensi daerah itu.

DATO Sri Dr. Stephen Rundi Utom menerima cenderamata berupa gendang daripada Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu selepas merasmikan Pesta Sebauh 2026 di Parking Lot BDA Sebauh, Bintulu semalam.

Menurutnya, nilai kejiranan dan semangat kebersamaan yang masih utuh dalam masyarakat luar bandar perlu terus dipelihara meskipun kawasan itu berkembang pesat.

“Di bandar, kadang-kadang kita tidak mengenali jiran yang tinggal bersebelahan.

“Namun di luar bandar, kita masih saling mengenali jiran, begitu juga di rumah panjang dan kampung.

“Nilai kebersamaan seperti inilah yang perlu kita pertahankan,” ujarnya.

Oleh Carolyne Utih

Continue Reading

Previous: Polis Bau anjur ceramah pencegahan jenayah komersial di SJKC Keranji
Next: Pesta Sebauh tampil lebih besar dengan gabungan AgroFest

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.