Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Keputusan rayuan pemecatan Datuk Lily Yong dijangka diketahui hujung tahun ini
  • Selatan
  • WILAYAH

Keputusan rayuan pemecatan Datuk Lily Yong dijangka diketahui hujung tahun ini

Utusan Sarawak 11 hours ago
DATUK Lily Yong Yong Lee pada sidang media di Kuching berhubung rayuan pemecatan beliau daripada SUPP.

KUCHING: Datuk Lily Yong Yong Lee berkata Jawatankuasa Pusat (CC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan bersidang pada hujung tahun ini bagi memutuskan rayuan terhadap pemecatan beliau sebagai Pengerusi Cawangan Kuching SUPP serta Setiausaha Cawangan, Voon Nam Jing.

Dalam sidang media hari ini, Yong berkata mesyuarat Jawatankuasa Pusat dijangka membincangkan rayuan itu pada November atau Disember.

Menurut beliau, rayuan berkenaan dikemukakan sebulan selepas menerima notis pemecatan pada 16 Mac lalu.

Yong, yang telah berkhidmat dalam parti selama 48 tahun, berkata beliau dan Setiausaha Cawangan Kuching telah mengemukakan rayuan secara rasmi terhadap keputusan pemecatan itu, dengan harapan Jawatankuasa Kerja Pusat mempertimbangkan kes tersebut secara adil dan saksama.

Beliau berkata alasan pemecatan yang diberikan adalah berhubung tindakan Cawangan Kuching yang didakwa secara terbuka membangkitkan kelemahan dalam pelaksanaan program Kad Kenyalang Gold sehingga menjejaskan imej parti.

Menurutnya, rayuan itu dibuat mengikut Perkara 51 Perlembagaan parti dalam tempoh 30 hari seperti ditetapkan.

“Dalam beberapa hari lalu, kami telah menghantar surat rayuan kepada semua 140 ahli Jawatankuasa Pusat SUPP. Kami berharap dokumen setebal 60 muka surat yang dikemukakan dapat membantu mereka memahami asas rayuan kami,” katanya.

Yong berkata Cawangan Kuching bertindak demi kepentingan awam selepas mengenal pasti beberapa kes melibatkan pemegang Kad Kenyalang Gold yang rekod mereka tidak dipaparkan dalam sistem Jabatan Kebajikan Masyarakat, sekali gus menghalang mereka daripada menuntut manfaat di bawah program tersebut.

Beliau berkata cawangan itu turut membantu orang ramai yang tidak pasti mengenai kesahihan Kad Kenyalang Gold dengan merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tujuan semakan dan penyelesaian.

“Berkhidmat kepada rakyat sentiasa menjadi komitmen Cawangan Kuching,” katanya.

Yong turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada beliau dan setiausahanya sejak pemecatan tersebut.

“Dalam tempoh tiga bulan lalu, kami menerima banyak keprihatinan dan kata-kata semangat daripada pelbagai pihak. Sokongan itu merupakan sumber kekuatan terbesar kami,” katanya.

Beliau berkata adalah tidak wajar untuk mengulas lebih lanjut kerana proses rayuan masih berjalan, memandangkan urusan parti perlu diselesaikan secara dalaman.

“Namun kami percaya bahawa kebenaran tidak boleh diputar belit dan akhirnya akan terserlah. Masa akan menjadi saksi,” katanya.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Peranan guru, ibu bapa penting bentuk kecemerlangan pelajar
Next: Bomba terus perkasa ilmu keselamatan kebakaran

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.