
PAKAN: Sokongan padu yang dizahirkan oleh ketua-ketua masyarakat di Ulu Julau mencerminkan keyakinan berterusan akar umbi terhadap kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom dalam meneruskan agenda pembangunan kawasan.
Komitmen tersebut dinyatakan oleh seramai 32 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Ulu Julau ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Mawan yang diketuai Penghulu Dandan Bujang, baru-baru ini.
Penghulu Dandan berkata, kunjungan itu bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan antara pemimpin masyarakat dan wakil rakyat, malah menjadi wadah untuk menyatakan sokongan akar umbi terhadap kepimpinan Mawan.
“Kunjungan ini merupakan manifestasi sokongan akar umbi, selain mengeratkan hubungan antara pemimpin masyarakat dan wakil rakyat.
“Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan KMKK iaitu bersetuju meneruskan kepimpinan Mawan adalah selaras dengan aspirasi pembangunan berterusan di kawasan Pakan,” katanya kepada media.
Katanya, dalam pertemuan tersebut, KMKK turut menyatakan sokongan agar Mawan terus dicalonkan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan pada pilihan raya akan datang.
“Keyakinan yang diberikan adalah berasaskan rekod kepimpinan Mawan dalam membawa pelbagai pembangunan dan memperjuangkan kepentingan masyarakat di kawasan Pakan.
“Sokongan yang ditunjukkan turut mencerminkan hasrat masyarakat untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan luar bandar dapat diteruskan secara berkesan dan berterusan,” katanya.
Tambahnya, kerjasama erat antara pemimpin dan masyarakat perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan setiap keperluan rakyat dapat diberi perhatian demi kesejahteraan bersama.
Oleh Earl Anek