
LABUAN: Lepasan sekolah peringkat menengah termasuk mereka yang memetic Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi kumpulan utama terlibat penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, iaitu 68,619 individu atau 68.1 peratus yang direkodkan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata data terkini setakat suku pertama tahun ini menunjukkan fasa remaja dan persekolahan kekal sebagai tempoh kritikal dalam mencegah golongan muda daripada terjebak dalam penagihan dadah.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah bilangan tertinggi mereka yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah adalah golongan muda dalam kumpulan usia produktif dan bekerja.
“Sebanyak 81.4 peratus atau 48,042 penagih berusia 15 hingga 39 tahun, ini usia emas, waktu mereka sepatutnya menyumbang kepada keluarga dan membina negara, bukannya dimusnahkan oleh dadah,” katanya.
Ruslin berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dan Kampung Aspirasi Bebas Dadah di Kampung Belukut, di sini hari ini.
Beliau berkata negara merekodkan 100,882 penagih dadah dan penyalahguna bahan terlarang setakat Mac tahun ini, bersamaan dengan 295 individu bagi setiap 100,000 penduduk.
Situasi itu, menurut beliau juga membimbangkan kerana penyalahgunaan dadah sintetik, terutamanya stimulan jenis amfetamin (ATS) seperti syabu dan pil kuda menyumbang 73 peratus kepada dadah yang paling banyak disalahgunakan.
Beliau berkata 70.7 peratus penagih dadah kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan, sama ada di dalam institusi atau dalam komuniti.
Sementara itu, data pekerjaan menunjukkan sektor swasta merekodkan penglibatan tertinggi dengan 31,371 individu atau 31.1 peratus diikuti kategori bekerja sendiri sebanyak 30,115 individu atau 29.9 peratus.
Beliau berkata ibu bapa perlu memainkan peranan lebih penting sebagai benteng pertahanan pertama, terutamanya dalam memantau anak pada usia remaja dan selepas tamat zaman persekolahan.
Terdahulu, beliau berkata pendekatan AADK tahun ini memfokuskan usaha advokasi antidadah secara terus kepada komuniti melalui program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah berbanding hanya bergantung kepada aktiviti berasaskan agensi.
Ruslin berkata Labuan, sebagai pulau bebas cukai dan hab maritim dengan sempadan laut terbuka, mempunyai profil risiko unik yang memerlukan pendekatan berasaskan komuniti dan kawalan sempadan yang strategik.
“Satu pendekatan tidak boleh digunakan di semua tempat untuk pencegahan dan pemulihan dadah. Kuala Lumpur memerlukan intervensi berteraskan bandar, Putrajaya advokasi yang menumpukan institusi kekeluargaan manakala Labuan pendekatan menekankan komuniti dan kawalan sempadan pulau,” katanya.
Beliau berkata Kampung Belukut dipilih sebagai antara lokasi Kampung Aspirasi Bebas Dadah di bawah AADK Wilayah Persekutuan kerana kepimpinan yang mantap dan penyertaan komuniti yang aktif.
Ruslin berkata kampung itu telah dikategorikan sebagai kampung komuniti contoh dengan pemimpin yang berwibawa serta masyarakat yang aktif, mencerminkan kekuatan sistem sosial dan mekanisme kawalan komunitinya.
Beliau berkata usaha memerangi penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, pemimpin tempatan dan sektor swasta bagi memperkukuh pertahanan sosial negara terhadap elemen negatif. – Bernama