SARAWAK United FC tampil dengan garang apabila mudah ‘meratah’ Skuad Projek FAM-MSN 7-1 di Stadium Hang Jebat Melaka, di sini malam semalam.
Dengan kemenangan bergaya pasukan kendalian E Elavarasan itu, Sarawak United kini merampas takhta Liga Premier mengatasi Negeri Sembilan dan JDT II dengan memungut 16 mata hasil lima kemenangan, sekali seri dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga perlawanan keenam.
Lebih manis apabila penyerang import berbisa dari Nigeria, Uche Agba mencuri tumpuan apabila berjaya meledakempat gol dalam perlawanan tersebut.
Empat jaringan yang dicipta oleh Uche Agba pada minit ke-14, 16, 30 dan 60 manakala dua gol lagi dijaringkan oleh S. Chanturu pada minit ke-44 serta Abdul Rahim Razak pada minit ke-83 termasuk Tommy Mawat Bada minit ke-89.
Sarawak United memecah kebuntuan jaringan gol pada minit ke-14 apabila Uche Agba mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol Projek FAM-MSN, Al Iman Wahiey. Belum sempat anak didik jurulatih, Yusri Che Lah menarik nafas ekoran gol awal itu, mereka tersentak lagi dua minit selepas itu apabila Uche Agba Sekali lagi memahatkan nama sebagai penjaring kedua pada minit ke-16.
Pada minit ke-30, Agba mencipta jaringan hatrik melalui rembatan tidak diselamatkan Al Iman dan seminit sebelum rehat, S. Chanturu mencipta jaringan keempat pada minit ke-44.
Memasuki babak kedua, skuad ‘ubi muda’ negara itu berjaya memecah rekod tanpa bolos Sarawak United selepas berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-57 menerusi Azhad Harraz Azman.
Penalti terbabit berpunca tindakan Amer Saidin menjatuhkan Muhammad Amirul Akmal Safarinizam bagi membolehkan Azhad memecah rekod tanpa bolos penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee dalam lima perlawanan awal.
Tersentak dengan jaringan pasukan lawan, Sarawak United terus ‘bernafsu’ melancarkan serangan ke kubu Skuad Projek FAM-MSN, hasilnya Uche Agba sekali lagi memahatkan gol peribadi keempatnya pada minit ke-60 untuk gol kelapan buatnya musim ini.
Manakala dua gol lagi dijaringkan oleh Abdul Rahim Razak pada minit ke-83 sebelum Tommy Mawat Bada menamatkan sengsara skuad projek FAM-MSN pada minit ke-89 perlawanan, sekali gus berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas perlawanan keenam.
Skuad Projek FAM-MSN pula terus terjerumus di tangga terbawah Liga Perdana dengan hanya mengutip satu mata hasil keputusan seri 2-2 menentang Kuching City, Rabu lalu.
Selepas ini Sarawak United FC akan menanti kunjungan PDRM FC di Stadium Hang Jebat Melaka, Jumaat ini.
Oleh ADI SAFARMAN