
SARATOK: Seorang wanita cedera selepas terbabit dalam kemalangan motosikal kendiri di kawasan Padang Majlis Daerah Saratok (MDS), tengah hari tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 12.50 tengah hari sebelum empat anggota Skuad ASPA 02 digerakkan ke lokasi kejadian seminit kemudian.
Beliau berkata, pasukan APM tiba di lokasi pada 12.52 tengah hari dan mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dengan seorang mangsa wanita dewasa.
“Mangsa didapati dalam keadaan sedar, namun mengalami luka tercalar pada bahagian lutut kiri serta kecederaan terkehel pada buku lali kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, anggota APM segera menjalankan penilaian awal terhadap keadaan mangsa sebelum memberikan rawatan kecemasan di lokasi.
Katanya, rawatan yang diberikan termasuk membersihkan luka pada bahagian lutut serta memasang alat sokongan (lower limb splint) pada kaki mangsa bagi menstabilkan kecederaan.
Selepas menerima rawatan awal di dalam ambulans, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Nur Athirah berkata, mangsa diserahkan kepada petugas hospital sebaik tiba di hospital bagi tindakan dan pemeriksaan selanjutnya.
Operasi itu melibatkan empat anggota APM dengan menggunakan sebuah ambulans serta sebuah beg perubatan.
Beliau berkata, operasi yang bermula pada 12.50 tengah hari itu selesai sepenuhnya pada 1.09 petang tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman