KUCHING: Kementerian dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam perancangan meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) untuk membantu pembeli rumah projek perumahan terbengkalai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, akta yang dipinda ini adalah untuk mengatasi masalah-masalah mengenai projek perumahan terbengkalai di negara ini.
“KPKT dalam proses merancang untuk membuat satu akta untuk mengawal projek-projek yang terbengkalai ini dan memikirkan apakah tindakan-tindakan yang lebih serius yang harus dikenakan terhadap mereka.
“Ketika ini, undang-undang yang sedia ada masih agak longgar dan tidak berapa ketat untuk kita menyenarai hitam sahaja malah kita tidak dapat mengambil tindakan kepada mereka kerana mengalami muflis jadi ia agak susah untuk ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Cawangan Sarawak di Pusat Komersial Riveredge, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Kuching, semalam.
Zuraida berkata, KPKT turut merancang untuk mewujudkan tabung kecemasan bagi membantu pemaju projek perumahan untuk mengelakkan daripada projek terbengkalai.
“Di bawah tabung kecemasan atau ‘sinking fund’ ini, ia dapat digunakan kepada projek yang terbengkalai agar dapat diselamatkan.
“Untuk masa akan datang, apabila kita ada skim tabung ini, ia akan dapat membantu pemaju untuk habiskan projek yang mempunyai risiko terbengkalai,” ujarnya.
Sementara itu, Zuraida turut memberitahu bahawa, pembukaan cawangan baharu SPNB di Sarawak ialah satu inisiatif penjenamaan semula SPNB di Sarawak.
Katanya, SPNB telah berjaya menyiapkan sebanyak 2,904 unit rumah kediaman SPNB dan antaranya ialah di Kuching dan Miri dengan melibatkan 2,187 unit kediaman SPNB.
Oleh JEAKQLEYN YACHO