MAJLIS Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menganjurkan pertandingan reka bentuk hentian bas bersama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAMSC) yang akan melibatkan 32 hentian bas.
Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching, Dato’ Wee Hong Seng, pertandingan tersebut dianjurkan bagi menghidupkan kembali penggunaan kemudahan awam di kawasan Kuching.
“Tujuan pertandingan ini adalah untuk menghidupkan kembali penggunaan kemudahan awam di kawasan Kuching Selatan dan memberikan arkitek muda menyerlahkan idea reka bentuk seni bina yang kreatif, inovatif dan lestari.
“Selain itu, ia dianjurkan untuk merealisasikan visi MBKS untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan mempromosikan Kuching sebagai bandar yang selamat, hijau dan pintar yang menarik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wee memberitahu pertandingan itu juga bertujuan untuk menggantikan reka bentuk hentian bas yang lama dengan reka bentuk yang lebih kreatif dan menarik.
“Secara dasarnya, kebanyakan hentian bas kini kadangkala tidak dapat digunakan sebagai tempat berlindung kerana orang awam masih terkena tempias hujan terutamanya ketika hujan lebat.
“Justeru, kita memerlukan para arkitek muda untuk memberi sentuhan baharu terhadap reka bentuk hentian bas yang sedia ada kerana kita percaya mereka mempunyai idea yang lebih kreatif, inovatif dan lestari,” tambahnya.
Wee juga memaklumkan pertandingan tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu arkitek siswazah dan kategori pelajar dan pendaftaran bagi penyertaan tersebut adalah percuma.
“Pemenang bagi Kategori Arkitek Siswazah bagi tempat pertama kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, RM1,500 dan RM1,000 dengan sijil penyertaan dan setiap daripada lima entri yang disenarai pendek akan menerima RM500 dengan sijil penyertaan.
“Manakala, pemenang tempat pertama kedua dan ketiga bagi kategori pelajar masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM1,500, RM1,000 dan RM500 dengan sijil penyertaan dan setiap daripada lima penyertaan yang disenarai pendek akan menerima RM200 dengan sijil penyertaan,” tambahnya.