
KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) terus memperkukuh pembangunan modal insan apabila seramai 300 warga Kumpulan Pelaksana menyertai Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan yang berlangsung selama dua hari di sebuah hotel di sini.
Pengarah Tanah dan Survei, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, program yang memasuki penganjuran tahun kedua itu bukan sekadar memenuhi keperluan latihan tahunan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik jabatan dalam membangunkan modal insan sebagai aset paling bernilai.

Beliau berkata, setiap warga jabatan tanpa mengira jawatan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, malah kumpulan pelaksana merupakan nadi yang menggerakkan keseluruhan ekosistem JTS.
“Jangan sesekali menganggap tugas yang dilaksanakan adalah kecil. Sama ada bertugas di kaunter, di lapangan, mengurus fail, memandu kenderaan, membantu operasi atau menyokong pentadbiran, semuanya memainkan peranan signifikan dalam memastikan sistem penyampaian jabatan berjalan dengan cekap, berintegriti dan berkesan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada program tersebut.

Menurut beliau, landskap perkhidmatan awam yang semakin mencabar menuntut setiap warga kerja sentiasa meningkatkan kompetensi, menguasai teknologi dan mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi selaras dengan aspirasi 3R Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak iaitu Revisit, Rethink dan Recharge. (Menilai Semula, Berfikir Semula dan Menyegarkan Semula)
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk pembinaan pasukan, ceramah integriti, taklimat kemudahan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak serta ceramah kesihatan jantung bagi melahirkan warga kerja yang kompeten, berintegriti dan berdaya tahan.
Oleh Shahrul Qaizat