BERBUDI kepada tanah tidak pernah merugikan, malah ia mendatang pulangan yang menguntungkan apabila dapat menuai hasil untuk kegunaan sendiri selain boleh menjualnya sebagai pendapatan sampingan.
Bagi Roslina Bujang, seorang suri rumah sepenuh masa, bercucuk tanam sudah menjadi minatnya dan bermula daripada menanam pokok bunga dia kini beralih kepada tanaman sayur-sayuran.
Roslina, 38, berkata, dia mula aktif menanam sayur sejak tahun lalu selepas mendapat benih cili padi daripada ibunya. Apabila melihat pokok itu semakin segar dan membesar, semangatnya menambah hasil tanaman semakin kuat.
“Saya suka melihat pokok membesar dengan sihat. Ia menaikkan semangat saya. Saya mula beli benih di kedai selain mendapatkan secara dalam talian.
“Sekarang ini, saya menanam sayur-sayuran dan tumbuhan yang boleh digunakan untuk memasak. Saya juga memilih pokok buah renek yang cepat mengeluarkan hasil.
“Kini saya tidak lagi perlu membeli seikat daun sup yang juga dipanggil saderi semata-mata untuk memasak sup ayam. Saya hanya perlu ke kebun di laman untuk memetik tiga atau empat batang pokok saderi dan ia sudah memadai. Ia membantu menjimatkan masa dan wang ringgit,” katanya.
Berasal dari Miri, beliau berkata, kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila melihat suaminya dapat memetik buah hasil tanaman sendiri.
Antara pokok buah-buahan yang terdapat di kebun sayurnya adalah cili, terung asam, sawi, kangkung, kubis, daun kunyit dan tomato.
“Bercucuk tanam memberi saya ketenangan. Biarpun penat tapi apabila saya berada di kebun ia memberi saya ketenangan. Malah, suami juga suka membantu saya menjaga kebun pada hujung minggu.
“Syuku, aktiviti berkebun ini dapat mengeratkan hubungan kami sekeluarga. Kami melakukan semua kerja di kebun ini bersama-sama,” katanya.
Katanya, tiada istilah tangan sejuk atau tangan panas kerana apa yang penting adalah menggunakan medium yang sesuai, benih berkualiti dan penjagaan yang konsisten.
Di sinilah pentingnya untuk mempelajari teknik-teknik penanaman, pembajaan dan penjagaan dengan betul melalui Youtube.
Dari Youtube, dia belajar cara penjagaan pokok, cara pembajaan yang betul bahkan ada rakan di alam maya turut memberi maklumat di mana boleh mendapatkan benih dan baja berkualiti.
“Semua orang berpeluang mendapatkan hasil tanaman yang memuaskan. Anda hanya perlu rajin menjaga, bukan sekadar tanam kemudian tinggalkan tanaman tanpa dijaga dengan betul.
“Kalau anda buat begitu memanglah tanaman tidak menjadi. Sama seperti kita, tanaman pun perlukan makanan dan belaian. Begitu juga tumbuhan. Pelbagai sumber nutrien diperlukan tumbuhan dan perlu mengimbanginya. Jangan hanya bergantung pada satu jenis nutrien saja,” katanya.
Oleh Jeakqleyn Yacho