
LIMBANG: Seorang peguam wanita membuat laporan polis selepas mendakwa terdapat kegiatan penjualan produk rokok elektronik (vape) kepada pelajar sekolah di daerah ini.
Peguam berkenaan, Dr Angela Loh Yee Shing, berkata laporan polis yang dibuatnya semalam turut menyentuh mengenai isu pelajar bawah umur membawa masuk peranti vape ke kawasan sebuah sekolah tempatan.
Beliau berkata akan mengumpulkan maklumat dan menyiasat perkara itu sehingga ke akar umbi bagi memastikan pihak yang menjual produk berkenaan kepada kanak-kanak dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.
Menurutnya, isu itu terbongkar pada 23 Jun lalu apabila pihak sekolah menemui beberapa pelajar memiliki peranti vape di kawasan sekolah.
“Seorang pelajar mengaku memiliki peranti tersebut dan memaklumkan bahawa ia dibeli, namun tidak menyatakan lokasi pembelian.
“Menurut guru disiplin sekolah berkenaan, penemuan produk vape dalam kalangan pelajar bawah umur bukanlah kejadian terpencil, sebaliknya telah berlaku lebih daripada sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Loh berkata, di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), penjualan atau pembekalan produk merokok, termasuk rokok elektronik, kepada individu berusia di bawah 18 tahun merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 13.
Katanya, penggunaan produk tersebut oleh individu bawah umur juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 17, manakala akta sama turut melarang penjualan produk berkenaan di kawasan institusi pendidikan.
“Sebagai seorang ibu dan juga peguam, saya amat sedih apabila produk vape sampai ke tangan kanak-kanak yang masih bersekolah.
“Saya berhasrat menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi. Saya akan mengumpulkan maklumat dan keterangan yang diperlukan, dan saya tidak akan teragak-agak memastikan pihak yang menjual produk ini kepada anak-anak kita dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang,” katanya.
Dr Loh berkata, laporan polis yang dibuat di Balai Polis Daerah Limbang itu bertujuan menjadi rekod rasmi kejadian serta asas bagi tindakan lanjut.
Selain itu, beliau bercadang mengemukakan representasi dan aduan rasmi kepada Pejabat Kesihatan Daerah Limbang, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak serta Majlis Daerah Limbang supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil terhadap mana-mana premis yang didapati menjual produk vape kepada kanak-kanak atau pelajar bawah umur.
“Ini adalah mengenai usaha melindungi anak-anak kita dan mencegah perkara ini daripada berulang.
“Penguatkuasaan Akta 852 mestilah tegas dan konsisten, manakala peniaga perlu memahami bahawa menjual produk ini kepada individu bawah umur akan membawa akibat di sisi undang-undang.
“Saya juga menggesa ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa supaya bekerjasama memastikan golongan muda dijauhkan daripada produk ini,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penjualan produk vape kepada individu bawah umur di Limbang supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Oleh Adeng Edrus