
PETRA JAYA: Penganjuran Piala Dunia Kulinari Borneo (BCWC) 2026 disifatkan sebagai platform strategik untuk membawa standard kulinari antarabangsa ke Sarawak sekali gus membuka peluang kepada chef tempatan bersaing dan menimba pengalaman bertaraf dunia tanpa perlu ke luar negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pertandingan itu bukan sekadar acara pelancongan, malah merupakan pelaburan terhadap pembangunan modal insan dalam sektor kulinari dan hospitaliti negeri.
“Buat pertama kali, chef serta bakat kulinari Sarawak berpeluang dinilai oleh panel hakim antarabangsa di tanah air sendiri tanpa menanggung kos perjalanan ke luar negara.
“Selama ini, ramai chef muda menganggap peluang beraksi di pentas antarabangsa sebagai sesuatu yang jauh kerana memerlukan kos perjalanan, visa dan perbelanjaan yang tinggi.
“Namun melalui BCWC 2026, mereka tidak perlu menaiki pesawat atau membelanjakan wang untuk ke luar negara kerana panel hakim bertaraf dunia akan datang ke Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada sidang media BCWC 2026 di Bilik Mesyuarat Mulu, Tingkat 17, Bangunan Baitul Makmur II, di sini hari ini.
Tambah beliau, seramai 40 hakim antarabangsa bersama 34 hakim dari Malaysia akan mengadili pertandingan tersebut dengan membawa pengalaman luas dalam industri kulinari global.
“Penyertaan chef dari pelbagai negara turut memberi peluang kepada peserta tempatan bertukar teknik, berkongsi idea serta mengukur kemampuan mereka mengikut piawaian antarabangsa.
“Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi jambatan yang membawa standard kulinari dunia ke Sarawak supaya chef kita dapat belajar, meningkatkan keyakinan diri dan suatu hari nanti mampu mewakili negeri serta negara di pentas yang lebih besar,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut, penganjuran BCWC 2026 juga selari dengan aspirasi Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kedudukan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kementerian akan terus menyokong penganjuran acara berimpak tinggi yang bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, malah memperkukuh pembangunan bakat tempatan.
“Sarawak mempunyai kepelbagaian warisan makanan yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan BCWC 2026 merupakan lanjutan semula jadi kepada perjalanan itu,” tambahnya.
Beliau turut menggesa chef, tukang masak, pelajar kulinari serta pencinta makanan di seluruh Sarawak merebut peluang menyertai pertandingan berkenaan.
“Melangkahlah ke hadapan, bertanding dengan penuh bangga, memasak dengan sepenuh hati dan tunjukkan kepada dunia kemampuan sebenar chef Sarawak,” ujarnya.


Untuk rekod, BCWC 2026 akan berlangsung di Dewan Alumni, Sekolah Rendah Chung Hua No. 3, Kuching dari 5 hingga 7 Ogos 2026, dan ini merupakan edisi pertama yang diadakan di Borneo dan edisi ketiga penganjurannya di Malaysia selepas Kuala Lumpur (2023) dan Ipoh (2025).
Pertandingan dwitahunan itu dianjurkan oleh Persatuan Kulinari Bersatu Malaysia (MBCA) dengan kerjasama Persatuan Kulinari Bersatu Malaysia Cawangan Sarawak (MBCSA) dan Kesatuan Chef Global (GCU) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Edisi sulung di Kuala Lumpur turut diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness sebagai pertandingan memasak terbesar di dunia.
Sebanyak 10 kategori utama dan 48 subkategori akan dipertandingkan, antaranya Masakan Panas,Pastri, Ukiran Artistik dan Cabaran Kotak Misteri.
Oleh Masrin Affirah