SEOUL: Dua maut selepas sebuah helikopter jabatan bomba dinaiki tujuh penumpang terhempas di gunung Jiri di wilayah selatan Korea Selatan semalam.
Helikopter dalam misi menyelamat dua pendaki itu terhempas di puncak Cheonwangbong di daerah Sancheong, wilayah Gyeongsang Selatan pada jam 12.07 malam, lapor agensi berita Yonhap
Menurut jabatan bomba, helikopter itu membawa tujuh penumpang, lima kru dan dua pendaki iaitu lelaki berusia 65 tahun yang mengalami masalah jantung dan isterinya.
Pasangan itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Lima pekerja penyelamat tidak mengalami kecederaan serius kerana ketika terhempas helikopter itu sedang terbang rendah.
Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas. – Bernama