
MIRI: Kementerian Pengangkutan meneruskan usaha membudayakan penggunaan pengangkutan awam menerusi Program Kesedaran dan Pengalaman Menaiki Bas Pintar Miri untuk pelajar di sini , yang memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan bas pintar.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program yang diadakan untuk pelajar SMK Lopeng Tengah itu bertujuan memperkenalkan perkhidmatan bas pintar kepada pelajar dan guru agar mereka lebih yakin menggunakan pengangkutan awam dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, program tersebut kini memasuki siri keempat dan akan diteruskan ke sekolah-sekolah lain di sini bagi memastikan lebih ramai pelajar memahami cara menggunakan perkhidmatan bas pintar.

“Ketika ini terdapat 14 buah bas pintar baharu beroperasi di Miri dan perkhidmatan ini disediakan secara percuma bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.
“Kita mahu membentuk budaya menggunakan pengangkutan awam sejak di bangku sekolah kerana ia mampu membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, khususnya di pusat bandar, selain mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kesedaran Penggunaan Bas Pintar Miri dan Pengalaman Menaiki Bas Untuk Pelajar di Miri di SMK Lopeng Tengah di sini, hari ini.
Lee berkata, pelajar turut didedahkan dengan penggunaan aplikasi bas pintar yang membolehkan mereka mengetahui lokasi bas, anggaran masa ketibaan serta laluan perjalanan secara masa nyata.
Menurutnya, bas pintar turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), kemudahan Wi-Fi percuma dan ruang yang selesa bagi meningkatkan pengalaman pengguna.
Beliau berharap pendedahan awal kepada pelajar dan guru akan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, sekali gus menyokong usaha kerajaan mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih mampan dan mesra alam di Miri.
Oleh Liong Chai Ling