
KUCHING: Aktiviti sukan berperanan penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan komuniti, kata Pengerusi Team Dynamic Kuching, Eric Tay.
Beliau berkata Program Badminton Get Together yang diadakan di Dewan Badminton Stapok baru-baru ini menjadi platform bukan sahaja untuk beriadah, malah mengukuhkan hubungan sesama penduduk serta memupuk semangat kejiranan.
Program itu berjaya menarik hampir 100 peserta yang terdiri daripada pemain, ahli keluarga, penyokong dan orang awam daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus mewujudkan suasana meriah serta menggalakkan penyertaan dalam aktiviti gaya hidup sihat.
“Komuniti yang sihat bermula dengan rakyat yang sihat. Sukan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menyatukan masyarakat. Melalui program seperti ini, kami berharap lebih ramai penduduk akan terus aktif dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan dalam komuniti,” katanya.
Menurut Tay, pembangunan komuniti tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek infrastruktur, sebaliknya perlu turut memberi penekanan kepada kesejahteraan penduduk dan pengukuhan hubungan sosial menerusi penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan.
Sehubungan itu, beliau berkata Team Dynamic Kuching akan terus menganjurkan pelbagai program sukan, belia dan khidmat masyarakat bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada penduduk untuk berinteraksi, menyumbang kepada komuniti dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, sukarelawan dan semua peserta atas komitmen serta sokongan sehingga menjayakan program berkenaan, selain berharap lebih ramai penduduk akan menyertai program seumpamanya pada masa akan datang.
Oleh Connie Chieng