

KAPIT: Dua penunggang motosikal cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Bukit Goram, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.14 malam sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pada 9.22 malam, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah motosikal.
“Dua mangsa lelaki yang menaiki motosikal mengalami kecederaan, termasuk seorang kanak-kanak.
“Seorang mangsa telah diberikan rawatan oleh petugas Hospital Kapit di lokasi kejadian, manakala seorang lagi diserahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) kepada bomba untuk dihantar ke Hospital Kapit menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tiada operasi menyelamat dijalankan kerana semua mangsa telah dikeluarkan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya, anggota bomba hanya menjalankan pemantauan di lokasi sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kapit menggunakan jentera EMRS.
Oleh Tarani Lanting