
LAWAS: Program lawatan Pegawai Perhubungan Sekolah daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas merupakan aktiviti rutin bulanan yang dilaksanakan oleh setiap Pegawai Perhubungan Sekolah yang dilantik.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, program tersebut bertujuan memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, terkawal dan bebas daripada jenayah.
“Minggu ini, beberapa sekolah telah melaksanakan Program Ceramah Anti Buli dan Anti Dadah sempena Program Duta Sahsiah di peringkat sekolah masing-masing yang disampaikan oleh wakil PDRM.
“Antara sekolah yang terlibat ialah SK Long Tuma, SK Kampung Lintang, SK Kuala Lawas dan SK Ulu Merapok.
“Selain aktiviti seperti tayangan video dan montaj serta penyampaian watikah pelantikan Duta Sahsiah oleh pihak sekolah, IPD Lawas turut menyediakan pameran berkaitan anti dadah sempena program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, selain melaksanakan tugas sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah yang memastikan keselamatan dan keharmonian sekolah serta menjadi penghubung antara sekolah dan PDRM, PPS juga berperanan memberi pendedahan kepada pihak sekolah khususnya murid berkenaan isu buli, jenayah, kesan merokok dan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, pelaksanaan program tersebut berjalan dengan lancar di setiap sekolah yang terlibat dan mencapai objektif selaras dengan mesej program yang bertujuan melahirkan murid yang “bebas dadah, sihat, cerdas dan berintegriti.”
Oleh Adeng Edrus