
MIRI: Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas disyaki mencuri sebuah motosikal yang diparkir di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan Tudan, Lutong, bulan lalu.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan sepasukan anggota polis diketuai Ketua Polis Balai Pusat Miri, ASP Goldy Jangan bersama anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Pusat Miri di Kampung Lereng Bukit kira-kira 1.00 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dibuat hasil risikan susulan laporan kehilangan motosikal yang diterima pada 12 Mei lalu.
“Mangsa menyedari motosikal jenis Yamaha Y15ZR miliknya yang diletakkan di hadapan rumah di kawasan perumahan Tudan telah hilang sebelum membuat laporan polis pada 3.09 petang hari sama.
“Hasil serbuan, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang dipercayai motosikal yang dicuri suspek,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri malam ini.
Beliau berkata, suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Mohd Farhan turut menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras jenayah dan memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.
Oleh Liong Chai Ling