Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hyundai perkukuh kehadiran di Sarawak menerusi pusat 3S pertama di Malaysia timur
  • TEMPATAN

Hyundai perkukuh kehadiran di Sarawak menerusi pusat 3S pertama di Malaysia timur

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng (tengah) bersama Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee Dong Wok (tiga kanan), Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen (empat kanan) serta barisan pengurusan Hyundai Motor Malaysia dan Heng Lian Enterprise Berhad merasmikan pembukaan Pusat 3S Hyundai Kuching, pusat 3S Hyundai pertama di Malaysia Timur, menerusi gimik pemotongan reben di Jalan Abell, Kuching.

KUCHING: Hyundai terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran automotif Sarawak menerusi pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) pertama di Malaysia Timur yang menawarkan pengalaman pemilikan kenderaan lebih lengkap kepada pelanggan.

Terletak di Jalan Abell, pusat 3S yang dikendalikan Heng Lian Enterprise Berhad itu menyediakan kemudahan sehenti merangkumi jualan kenderaan baharu, penyelenggaraan serta bekalan alat ganti tulen bagi memenuhi keperluan pelanggan baharu dan sedia ada.

Pengurus Jualannya, Steven Kuek Eng Chun berkata, pembukaan pusat berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam mengembalikan keyakinan pengguna terhadap jenama Hyundai di Sarawak menerusi perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh.

“Sebagai pengedar baharu Hyundai di Sarawak, kami komited memberikan sokongan penuh kepada semua pelanggan, sama ada pelanggan baharu mahupun pemilik Hyundai sedia ada.

“Dengan konsep 3S ini, pelanggan hanya perlu datang ke satu lokasi untuk mendapatkan semua perkhidmatan berkaitan Hyundai dalam suasana yang selesa dan profesional,” katanya letika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pusat 3S Hyundai Cawangan Kuching, hari ini.

Menurut beliau, pusat berkenaan turut menyediakan ruang menunggu pelanggan yang moden dan selesa lengkap dengan kemudahan Wi-Fi percuma bagi meningkatkan pengalaman pelanggan ketika mendapatkan perkhidmatan.

Dari segi penawaran produk, Steven berkata tiga model yang kini menerima sambutan paling menggalakkan ialah Hyundai Staria, Hyundai Tucson dan Hyundai Santa Fe.

MODEL Hyundai Tucson dan Hyundai Santa Fe menjadi antara model yang mencuri perhatian pengunjung sempena pembukaan rasmi Pusat 3S Hyundai pertama di Malaysia Timur.

Pada masa sama, Hyundai turut membuka tempahan bagi model berprestasi tinggi Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N yang dijangka dipamerkan di pusat 3S itu sekitar September ini.

Selain itu, Hyundai turut memperkenalkan model baharu Stargazer 1.5, sebuah MPV bersaiz sederhana yang baru dilancarkan pada Pameran Motor Kuala Lumpur minggu lalu.

Model berkenaan ditawarkan pada anggaran harga bermula RM99,000 hingga RM121,000, dengan tempahan awal kini dibuka melalui bayaran tempahan serendah RM88.

Sebagai ganjaran kepada 800 pelanggan terawal, Hyundai menawarkan pakej empat tahun servis percuma atau lapan kali servis, selain jaminan kenderaan selama lapan tahun.

Steven berkata, pelanggan yang membuat tempahan sekarang dijangka menerima kenderaan masing-masing sekitar September atau Oktober tahun ini.

PENGURUS Jualan Heng Lian Enterprise Bhd, Steven Kuek Eng Chun ditemui media selepas majlis perasmian Pusat 3S Hyundai pertama di Malaysia Timur di Jalan Abell, Kuching.

Beliau turut menjelaskan bahawa Hyundai Malaysia kini menawarkan Program Pemilikan Kenderaan yang membolehkan kos alat ganti dikurangkan sehingga 20 peratus, sekali gus memberi nilai tambah kepada pemilik kenderaan Hyundai.

“Kami mahu memastikan pelanggan tidak lagi bimbang mengenai isu alat ganti atau perkhidmatan selepas jualan kerana kami komited menyediakan sokongan sepenuhnya kepada semua pemilik Hyundai di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata Sarawak dipilih sebagai lokasi pusat 3S pertama di Malaysia Timur berikutan perkembangan pesat negeri itu serta potensinya yang besar dalam industri automotif.

Menurut beliau, Hyundai melihat rakyat Sarawak berhak menikmati produk berkualiti serta perkhidmatan bertaraf tinggi yang setanding dengan pasaran lain di negara ini.

“Persaingan memang sengit, namun kami yakin mampu menawarkan kelainan melalui kualiti produk, teknologi, inovasi dan pengalaman perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan

“Kami mahu pelanggan di Sarawak sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada Hyundai kerana kami akan terus memperkenalkan model-model baharu serta teknologi terkini mengikut perkembangan industri automotif,” katanya.

BANGUNAN Pusat 3S Hyundai yang baharu di Jalan Abell, Kuching menawarkan kemudahan jualan, servis dan alat ganti dalam konsep pusat sehenti kepada pelanggan di Sarawak.

Beliau turut mendedahkan Hyundai merancang memperluaskan lagi rangkaiannya ke bandar-bandar utama lain di Sarawak seperti Sibu dan Miri pada masa hadapan, bergantung kepada permintaan pasaran serta kerjasama strategik bersama rakan pengedar yang sesuai.

Pembukaan pusat 3S Hyundai di Jalan Abell ini sekali gus menjadi satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan kehadiran jenama tersebut di Malaysia Timur, selain menawarkan penyelesaian pemilikan kenderaan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan di Sarawak.

Majlis perasmian pusat 3S Hyundai itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Pembinaan SMK Selangau dahului jadual, capai kemajuan fizikal 64.72 peratus
Next: AZAM perkasa komuniti melalui Latihan Canva 2.0

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.