Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Perdagangan daging kucing penuhi permintaan di Indochina
  • GLOBAL

Perdagangan daging kucing penuhi permintaan di Indochina

Utusan Sarawak 5 hours ago
PERDAGANGAN daging kucing penuhi permintaan di Indochina. Foto hiasan.

PHNOM PENH: Kepercayaan yang mengaitkan daging kucing dengan nasib baik dan faedah perubatan merangsang perdagangan haram daging haiwan itu di Indochina, iaitu menurut anggaran kumpulan kebajikan haiwan, di Vietnam sahaja, satu juta kucing dibunuh setiap tahun.

Bilangan lebih kecil juga dibunuh di kawasan terpencil di Kemboja dan Laos, sebahagian besarnya kerana persepsi berhubung nilai perubatannya.

Menurut organisasi kebajikan haiwan global FOUR PAWS, kucing dicuri dari rumah dan jalanan, diperdagang dan disembelih setiap tahun di Vietnam untuk memenuhi permintaan yang berakar pada kepercayaan karut dan tradisi.

“Daging kucing secara amnya dimakan atas sebab budaya, tradisional atau sosial, bukannya kerana ia makanan ruji utama.

Di beberapa bahagian Asia Tenggara, daging kucing secara sejarah dikaitkan dengan kepercayaan tentang tuah dan nasib,” kata Jon Rosen Bennett, yang bertanggungjawab terhadap isu kebajikan anjing dan kucing di FOUR PAWS, kepada Bernama.

Perdagangan itu masih wujud walaupun kerajaan dan aktivis antarabangsa telah menjalankan kempen kesedaran berdekad-dekad lamanya untuk menghentikan aktiviti berkenaan di rantau ini.

“Di Vietnam, sesetengah orang percaya memakan daging kucing pada masa tertentu dalam bulan lunar boleh membawa tuah atau membantu memulihkan tempoh malang, manakala sesetengah pengguna percaya daging kucing mempunyai manfaat kesihatan atau perubatan,” kata Bennett.

Perniagaan kontroversi itu muncul di Bandar Ho Chi Minh minggu lepas selepas polis tempatan membongkar kumpulan penjenayah yang terlibat dalam penyeludupan kucing antara wilayah dan menyelamatkan sekitar 500 ekor haiwan itu, lapor VietnamNet.

Sembilan anggota kumpulan penjenayah itu telah ditahan kerana terlibat dalam kegiatan mencuri dan menjual kucing sejak tiga tahun lepas.

Tiada larangan di seluruh negara terhadap penyembelihan, penjualan atau penggunaan daging kucing di Vietnam, kata Bennett.

“Majoriti penduduk di rantau ini tidak makan daging kucing. Di Vietnam, hampir 90 peratus orang berkata mereka akan menyokong larangan perdagangan daging anjing dan kucing.

“Dan lebih 90 peratus orang berkata mereka tidak menganggapnya sebagai sebahagian daripada budaya Vietnam,” katanya.

Siasatan FOUR PAWS di Vietnam pada 2020 mendapati kucing hidup dijual sekitar AS$6 (RM25) hingga AS$8 (RM33) sekilogram (harga pada 2020).

Sementara itu, daging kucing dijual pada harga sekitar AS$10-12 (RM41 hingga RM49) sekilogram, dengan harga premium dibayar untuk kucing hitam kerana didakwa membawa tuah atau sifat perubatan.

Penjualan kucing, juga dikenali sebagai ‘harimau kecil’ di Vietnam, bukan sahaja menyebabkan penderitaan untuk kucing, ia juga menimbulkan kebimbangan kesihatan awam.

“Bukan sahaja perdagangan daging anjing dan kucing menyebabkan penderitaan besar bagi haiwan terbabit, pergerakan besar-besaran haiwan yang tidak didokumentasikan merentasi sempadan menimbulkan ancaman serius kepada kesihatan awam, dengan potensi penyebaran rabies dan penyakit zunosis lain,” katanya.

Pada awal Jun, FOUR PAWS melancarkan platform pelaporan awam dalam talian sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran terhadap perdagangan anjing dan kucing di Kemboja.

Bukan sahaja kucing, malah anjing juga telah menjadi mangsa di beberapa bahagian Indochina.

Aktivis haiwan menganggarkan lebih 10 juta anjing disembelih untuk daging mereka setiap tahun di seluruh Asia Tenggara.

Bagaimanapun, majoriti penduduk di rantau ini tidak mengambil daging anjing dan sentimen orang ramai terus meningkat terhadap perdagangan itu. Ia kekal sebagai topik yang sangat sensitif dalam sesetengah masyarakat. – Bernama

Continue Reading

Previous: Pusat tahanan migran AS digelar ‘Alligator Alcatraz’ akan ditutup
Next: Raja Charles III muncul raja British pertama dedah bayaran cukai peribadi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.