
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini, diberitahu Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah mengalami tekanan emosi yang berulang, yang dikaitkan dengan hubungan sesama rakan, dalam beberapa bulan sebelum kematiannya.
Pakar Perunding Psikiatri Dr Wong Haw Huo berkata bukti yang ada menunjukkan remaja itu mengalami tekanan berterusan dalam hubungan interpersonal, yang berpunca daripada hubungannya dengan individu lain, dan bukannya disebabkan oleh satu insiden terpencil.
Beliau berkata penilaian berkenaan adalah berdasarkan semakan menyeluruh terhadap laporan perubatan, hasil bedah siasat, nota prosiding inkues, catatan peribadi, rakaman audio, gambar, video, komunikasi digital serta temu bual yang dijalankan bersama ibu bapa Zara Qairina.
Dr Wong mendedahkan antara Mac hingga Mei 2025, terdapat petanda yang semakin jelas bahawa Zara Qairina sedang berdepan tekanan dalam hubungan dengan rakan sebaya, ketidakstabilan emosi, ketakutan berdepan dengan konflik, bimbang terhadap pelajar senior, selain dipercayai menjadi mangsa ejekan atau layanan memalukan.
“Menjelang Jun dan Julai 2025, bahan yang dikaji menunjukkan Zara Qairina mengalami tekanan emosi yang semakin serius, lebih sensitif terhadap disisih, semakin berwaspada dalam berinteraksi dengan orang lain serta merasakan persekitarannya semakin kurang selamat dari segi emosi,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Wong yang juga saksi ke-75 dalam prosiding inkues kematian remaja itu ialah seorang pakar psikiatri berpengalaman yang telah berkhidmat kira-kira 12 tahun.
Pada masa ini, beliau mengendalikan antara 120 hingga 180 kes kanak-kanak dan remaja setiap tahun, dengan kira-kira 30 peratus daripadanya melibatkan tindakan mencederakan diri sendiri, manakala 15 hingga 20 peratus lagi melibatkan pemikiran atau tingkah laku bunuh diri.
Beliau memaklumkan kepada mahkamah tekanan emosi yang dialami Zara Qairina berpunca daripada gabungan beberapa faktor, termasuk kerentanan emosinya serta tekanan kehidupan di sekolah berasrama yang semakin meningkat.
Situasi berkenaan, katanya semakin buruk akibat berlakunya salah faham berulang, khabar angin, penyisihan sosial, konflik sesama rakan, tuduhan serta pengalaman yang mungkin ditafsirkan oleh Zara Qairina sebagai sesuatu yang memalukan, khususnya berkaitan dengan kejadian pada 15 Julai 2025.
Dr Wong berkata kejadian pada hari terbabit amat penting kerana berlaku ketika Zara Qairina berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil. Kejadian itu dipercayai melibatkan satu dakwaan konfrontasi yang berlaku di asramanya.
“Bagaimanapun, bukti yang ada menyokong rumusan psikiatri bahawa terdapat tekanan interpersonal berterusan serta beban emosi akut dalam konteks pengalaman sekolah berasrama penuh si mati,” katanya.
Dr Wong mengakui kesimpulan muktamad mengenai keadaan mental sebenar Zara Qairina atau niat khususnya tidak dapat dicapai, memandangkan penilaian berkenaan dijalankan selepas kematiannya, tanpa peluang untuk melakukan pemeriksaan psikiatri secara langsung ketika remaja itu masih hidup.
Mengenai hubungan Zara Qairina dengan ibunya, beliau berkata rakaman audio perbualan kedua beranak itu menunjukkan komunikasi yang kerap, dengan Allahyarham sering mendapatkan kepastian dan sokongan emosi, namun perbualan mereka juga dipenuhi gurauan, kemesraan dan hubungan emosi yang rapat.
“Dari perspektif psikiatri, ibu Allahyarham dilihat sebagai individu utama yang memberikan sokongan emosi, penenang, tempat meluahkan dan memproses pengalaman hubungan sosial serta menyediakan rasa selamat dari segi psikologi kepada arwah,” katanya.
Menurut Dr Wong, meskipun sebahagian daripada penulisan Zara Qairina ada meluahkan kemarahan atau kekecewaan terhadap ibunya pada masa-masa tertentu, bahan lain yang tersedia tidak menunjukkan bahawa hubungan mereka telah mengalami keretakan.
“Bagaimanapun, bahan yang ada tidak menunjukkan berlakunya pengabaian emosi, sikap tidak ambil peduli, disisihkan atau kekurangan ikatan kasih sayang antara ibu dan anak,” katanya.
Mengenai hubungan Zara Qairina dengan bapanya pula, Dr Wong berkata interaksi antara mereka kelihatan lebih terbatas dan tidak menentu dalam tempoh berkenaan.
“Berdasarkan bahan yang dikaji, bapa arwah tidak dilihat sebagai sosok utama tempat arwah bergantung dari segi emosi atau individu yang sentiasa hadir secara konsisten dalam kehidupannya,” katanya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4.00 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Prosiding inkues disambung semula pada 2.30 petang melibatkan saksi sama. – Bernama