
PETRA JAYA: Perancis menyatakan komitmen teguh untuk menyokong aspirasi Sarawak dalam memanfaatkan sumber semula jadi negeri ini bagi membangunkan hab peralihan tenaga serta teknologi bersih yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour berkata, lawatan beliau ke Sarawak buat kali kedua dalam tempoh kurang enam bulan jelas mencerminkan kepentingan strategik negeri ini kepada Kerajaan Perancis.
“Kami memahami sepenuhnya visi strategik yang digariskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memanfaatkan sumber asli tempatan bagi menjadikan Sarawak sebagai hab peralihan tenaga dan hab teknologi bersih. Ia merupakan satu visi yang bercita-cita tinggi dan kami mahu menyokongnya secara proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Menurut Marc, perbincangan bersama Premier Sarawak turut menyentuh pelbagai bidang kerjasama berpotensi antara Perancis dan Sarawak, termasuk aeronautik, kesalinghubungan udara, peralihan tenaga, hidroelektrik serta bekalan elektrik.
Katanya, beberapa syarikat Perancis telah bertapak di negeri ini atau sedang meneroka peluang pelaburan baharu, khususnya dalam projek tenaga hidro, biometanol dan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerjasama turut diperluas dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan akademik, termasuk hubungan antara Muzium Budaya Borneo dengan institusi muzium di Perancis, selain pertukaran seni persembahan serta promosi Sarawak di negara berkenaan.

Marc berkata beliau juga telah mengadakan lawatan ke Kolej Universiti i-CATS dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi meneroka potensi kerjasama penyelidikan dalam bidang strategik seperti aeronautik, tenaga, semikonduktor dan teknologi maju.
Sementara itu, selepas kunjungan hormat berkenaan, Premier Sarawak turut menerima kunjungan perpisahan daripada Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie sempena tamat tempoh perkhidmatan rasminya.
Beliau yang berkhidmat sebagai Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) selama 28 tahun, secara rasmi menamatkan tugasnya pada 8 Jun lalu.