Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Mohon dana Persekutuan baiki laluan kritikal Jalan Lapangan Terbang Miri
  • SEMASA

Mohon dana Persekutuan baiki laluan kritikal Jalan Lapangan Terbang Miri

Utusan Sarawak 13 hours ago
BINCANG…Dato Lukanisman Awang Sauni (kanan) bersama Chiew Choon Man (kiri).

MIRI: Kerajaan Persekutuan akan dipohon menyediakan peruntukan khas bagi melaksanakan kerja pembaikan menyeluruh di Jalan Lapangan Terbang Miri menuju Taman Delight susulan kerosakan jalan dan hakisan tanah yang semakin membimbangkan sehingga boleh mengancam keselamatan pengguna.

Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni bersama Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, isu berkenaan bukan sekadar melibatkan kerosakan permukaan jalan, sebaliknya turut membabitkan hakisan tanah, struktur pembetung, sistem saliran bawah tanah, kestabilan cerun serta utiliti awam.

Menurut mereka, berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR), kerja pembaikan yang diperlukan meliputi pembinaan semula pembetung, perlindungan cerun, kerja tanah, turapan jalan serta langkah keselamatan lain bagi memastikan laluan itu kembali selamat digunakan.

Katanya, antara kekangan utama ialah status tanah yang masih berada di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berkaitan kawasan Lapangan Terbang Miri, selain proses penyerahan jalan kepada kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan yang belum dimuktamadkan.

“Walaupun berdepan beberapa kekangan, semua agensi Persekutuan dan negeri yang terlibat telah menyatakan komitmen untuk bekerjasama kerana jalan ini merupakan laluan penting yang digunakan orang ramai setiap hari,” katanya dalam kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka, hasil perbincangan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Zon Miri, permohonan peruntukan Persekutuan akan dikemukakan bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan sekadar tampalan sementara.

JKR Bahagian Miri akan bertindak sebagai agensi pelaksana dengan projek itu dijalankan secara berfasa.

Fasa pertama melibatkan pengalihan sementara atau perlindungan utiliti sedia ada termasuk talian elektrik, telekomunikasi dan paip air yang melibatkan Sarawak Energy Berhad (SEB), Telekom Malaysia (TM) serta Sarawak Water.

Fasa kedua pula melibatkan kerja fizikal seperti pembaikan pembetung, penstabilan cerun, naik taraf sistem saliran dan pemulihan semula jalan.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu turut berharap syarikat utiliti dapat mempertimbangkan pengecualian atau sokongan terhadap kos pengalihan utiliti memandangkan projek berkenaan dilaksanakan demi kepentingan dan keselamatan awam.

Mereka pada masa sama memohon orang ramai bersabar kerana pelaksanaan projek memerlukan beberapa prosedur teknikal serta penyelesaian berkaitan status tanah dan utiliti sebelum kerja dapat dimulakan.

Menurut mereka, Jalan Lapangan Terbang Miri merupakan antara laluan utama yang menghubungkan penduduk di kawasan Parlimen Miri dan Sibuti dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Miri serta pusat bandar. Justeru, usaha mempercepatkan kerja-kerja pembaikan akan terus diberi keutamaan bagi menjamin keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan pengguna jalan raya.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Dokumen tak lengkap punca permohonan Bantuan Ibu Bersalin ambil masa diproses – Fatimah
Next: Perancis komited sokong visi Sarawak sebagai hab tenaga hijau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.